Khamis, 27 Jun 2019 | 1:57pm

Jakarta dikawal ketat

JAKARTA: Mahkamah Agung Indonesia dijangka mengumumkan keputusan ke atas dakwaan calon pilihan raya presiden yang tewas bahawa proses pengundian itu diatur untuk mengalahkan beliau.

Dakwaan dikeluarkan Prabowo Subianto itu mencetuskan rusuhan berdarah di ibu kota negara itu.

Puluhan ribu askar dan polis ditempatkan di Jakarta berikutan kebimbangan lebih banyak ketegangan selepas keputusan dikeluarkan.

Kira-kira 47,000 anggota polis dan askar ditempatkan di sekitar bangunan mahkamah dan beberapa bahagian di tengah Jakarta.

Mahkamah Perlembagaan Indonesia menimbang dakwaan Subianto bahawa pilihan raya April lalu dicemari penipuan yang dilakukan secara sistematik, berstruktur dan besar-besaran, yang menyebabkan beliau tewas.

Peguamnya mahu membatalkan keputusan rasmi yang mengisytiharkan kemenangan Presiden Joko ‘Jokowi’ Widodo dengan 55.5 peratus undian berbanding Subianto yang memperoleh 44.5 peratus.

Namun, pasukan peguam Subianto mendakwa Jokowi menggunakan kuasa pasukan keselamatan untuk menang dan melanggar peraturan kewangan kempen, dan sehingga 30 juta undian ‘dicuri’.

Pegawai pilihan raya tidak mengendahkan dakwaan penipuan dikemukakan Subianto, dan ramai penganalisis perundangan memberi bayangan saman itu gagal disebabkan kelemahan bukti.

Subianto yang kalah dalam pertarungan sama pada 2014 apabila Jokowi menewaskan beliau, tidak mempunyai banyak pilihan jika keputusan mahkamah tidak memihak kepadanya.

“Jika dakwaan ditolak, permainan tamat bagi Subianto,” kata pakar undang-undang Perlembagaan, Refly Harun.

Bagaimanapun, kemenangan tidak dijangka Subianto bermakna pilihan raya akan diadakan sekali lagi di wilayah tertentu atau membatalkan kemenangan Jokowi. - AFP

Berita Harian X