Ahad, 30 Jun 2019 | 1:59pm
BEKAS ahli politik pembangkang, Margaret Ng. - Foto REUTERS

Jutaan penduduk bakal sertai ulang tahun penyerahan Hong Kong

HONG KONG: Hong Kong sedang bersiap sedia menjelang perarakan tahunan pro-demokrasi esok, ulang tahun penyerahan pentadbiran kepada Beijing yang dijangka ‘luar biasa’ kehadirannya terutama selepas isu rang undang-undang ekstradisi.

Beberapa tahun lalu, ulang tahun penyerahan bekas tanah jajahan British pada 1997 itu sering dikaitkan dengan kebimbangan penduduk dengan campur tangan tanah besar China dan kebebasan yang semakin terjejas.

Beijing menafikan campur tangan, namun bagi kebanyakan penduduk Hong Kong, cadangan rang undang-undang ekstradisi yang membolehkan penduduk dihantar ke tanah besar China untuk dibicarakan, adalah langkah terbaharu dalam usaha memperkukuhkan kawalan tanah besar.

“Jika Hong Kong bukan lagi sebuah kota antarabangsa, Hong Kong lambat laun akan lenyap,” kata bekas ahli politik pembangkang, Margaret Ng di perhimpunan itu Jumaat lalu.

Pemimpin Hong Kong, Carrie Lam yang disokong kerajaan Beijing mencadangkan dan kemudian menggantung rang undang-undang ekstradisi itu selepas ia mencetus tindak balas negatif jutaan penduduk termasuk tunjuk perasaan yang bertukar ganas.

Penganjur perhimpunan ulang tahun kali ini yakin, angka penunjuk perasaan yang bakal memenuhi bandar di wilayah ini akan meningkat.

Sejak tiga minggu lalu, lebih daripada sejuta penduduk keluar memprotes di jalanan kerana marah dan kecewa terhadap pentadbiran Lam. - Reuters

Berita Harian X