Isnin, 1 Julai 2019 | 11:46am
Polis cuba meleraikan penunjuk perasaan berhampiran lokasi upacara menaikkan bendera sempena ulang tahun penyerahan Hong Kong kepada China di Hong Kong. Foto Reuters
Polis cuba meleraikan penunjuk perasaan berhampiran lokasi upacara menaikkan bendera sempena ulang tahun penyerahan Hong Kong kepada China di Hong Kong. Foto Reuters

Protes cemari ulang tahun ke-22 penyerahan Hong Kong kepada China

HONG KONG: Ribuan penunjuk perasaan bertempur dengan polis anti rusuhan awal pagi tadi, pada sambutan ulang tahun penyerahan Hong Kong kepada China.

Ia berlaku menjelang perhimpunan tahunan yang dijangka menarik lebih ramai penyertaan, susulan ketegangan mengenai rang undang-undang ekstradisi.

Lebih sejuta penduduk berkumpul di beberapa batang jalan raya di bandar raya sejak tiga minggu lalu, bagi menyuarakan kemarahan dan kekecewaan terhadap pemimpin Hong Kong, Carrie Lam.

Keadaan itu juga dianggap satu cabaran kepada pemimpin China, Xi Jinping sejak mengambil alih kuasa pada 2012.

Namun, pengkritik rang undang-undang ekstradisi, bimbang ia akan mengancam sistem perundangan Hong Kong, sekali gus mendesak ia dibatalkan dan Lam meletakkan jawatan.

Sementara itu, polis melepaskan semburan bagi meleraikan penunjuk perasaan, kebanyakannya memakai pakaian hitam, topi dan topeng muka, menjelang ulang tahun ke-22 penyerahan Hong Kong oleh Kerajaan Britain kepada China.

Polis anti rusuhan lengkap dengan topi keledar dan cota turut mengedar penunjuk perasaan, sambil mengeluarkan amaran bahawa tindakan kekerasan akan diambil, jika peserta perhimpunan bertindak ganas.

Lam yang kelihatan letih turut tampil buat kali pertama dalam tempoh hampir dua minggu untuk menyertai majlis ulang tahun itu, sambil ditemani suami dan bekas pemimpin Hong Kong, Tung Chee-hwa.

Malah, pihak berkuasa mengambil langkah berjaga-jaga dengan mempertingkatkan kawalan keselamatan di sekitar lokasi sambutan itu.

Lam berkata, kerajaan perlu mengubah corak tadbir urus, selain berjanji untuk lebih terbuka serta berjanji untuk melakukan banyak perubahan bagi memenuhi keperluan golongan muda.

“Insiden yang berlaku sejak beberapa bulan kebelakangan ini, berjaya mencetuskan kontroversi dan perbalahan antara orang awam serta kerajaan.

“Ia menimbulkan kesedaran bahawa saya sebagai seorang ahli politik, perlu sentiasa mengingatkan diri setiap masa untuk sentiasa membaca sentimen orang ramai dengan tepat.

“Saya mengambil pengajaran daripada insiden ini dan memastikan pada masa akan datang kerajaan akan bekerjasama rapat serta sentiasa mengambil aspirasi, sentimen dan pendapat masyarakat,” katanya. - Reuters

Berita Harian X