Isnin, 1 Julai 2019 | 4:16pm
KERAJAAN New Zealand secara rasmi mengharamkan penggunaan beg plastik pakai buang.

New Zealand haramkan penggunaan beg plastik pakai buang

WELLINGTON : Kerajaan New Zealand secara rasmi mengharamkan penggunaan beg plastik pakai buang hari ini dengan memperkenalkan denda untuk perniagaan yang dikesan masih membekalkan bahan itu kepada pelanggan.

Pencemaran plastik kini menjadi kebimbangan di peringkat global, dengan jutaan burung dan lebih 100,000 mamalia marin tercedera atau terbunuh setiap tahun apabila terjerut dalam plastik atau menjadikan bahan itu makanan secara tidak sengaja.

Syarikat yang melanggar peraturan itu akan dikenakan hukuman berat, termasuk denda sehingga NZ$100,000 (RM277,185).

“Rakyat New Zealand amat berbangga dengan kebersihan, kehijauan alam sekitar negara ini dan kami mahu memastikan ia kekal selamanya.

“Menghentikan penggunaan beg plastik pakai buang membantu merealisasikan hasrat itu,” kata Menteri Alam Sekitar, Eugenie Sage.

Menerusi peraturan baru itu, beg plastik pakai buang yang nipis tidak lagi akan dibekalkan kepada pengguna namun pemberian beg kitar semula adalah dibenarkan.

Undang-undang berkenaan yang diumumkan Ogos tahun lalu dan mula berkuat kuasa hari ini diyakini tidak membebankan pengguna kerana kebanyakan pasar raya utama New Zealand secara sukarela sudah melaksanakan amalan itu.

Sage bagaimanapun berkata, ia membolehkan tumpuan diberikan kepada agenda kitar semula.

“Pengharaman ini tidak akan pergi jauh tetapi apa yang hebat, ia adalah permulaan kepada perkara lebih besar.

“Orang ramai sekarang bercakap mengenai penggunaan beg plastik pakai buang dan bagaimana ia boleh dihentikan,” katanya kepada Radio New Zealand.

Persatuan Statistik Diraja Britain menganggarkan 90.5 peratus bahan buangan plastik atau 6,300 juta metrik tan tidak pernah dikitar semula dan terbiar sebagai sampah yang mencemarkan alam sekitar. - AFP

Berita Harian X