X
Rabu, 3 Julai 2019 | 3:06pm
EMPANGAN pecah dalam kejadian di negeri Maharashtra.
EMPANGAN pecah dalam kejadian di negeri Maharashtra.

6 maut, 18 hilang empangan pecah di India

MUMBAI: Enam maut dan sekurang-kurangnya 18 hilang hari ini apabila empangan di negeri Maharashtra di barat India pecah susulan musim hujan paling buruk dalam masa sedekad.

“Dengan menggunakan dron, kami mengesan enam mayat dan 18 lagi masih hilang,

“Kami mengerah dua pasukan selepas empangan Tiware pecah berlaku malam tadi dan masih mencari mangsa terselamat,” kata jurucakap Pasukan Tindak Balas Bencana Kebangsaan (NDRF) India, Alok Awasthy.

Selain NDRF, pasukan polis dan pegawai kerajaan juga mencari mangsa terselamat di Ratnagiri, terletak 275 kilometer dari Mumbai.

Semalam, tembok yang runtuh di kawasan setinggan di Mumbai disebabkan hujan lebat, mengorbankan sekurang-kurangnya 22 orang dan mencederakan ramai lagi apabila banjir melumpuhkan bandar raya kewangan India itu.

Enam buruh turut maut di bandar raya Pune apabila satu lagi tembok runtuh.

Hari ini, hujan berterusan membasahi bandar raya dengan 20 juta penduduk itu, menjadikan ia lumpuh apabila banjir memutuskan laluan kereta api, penutupan landasan utama lapangan terbang dan menyebabkan kesesakan lalu lintas.

Jabatan cuaca India memberi amaran

hujan amat lebat di beberapa bahagian di Mumbai dalam masa beberapa hari lagi.

Menurut agensi pengesan cuaca persendirian, Skymet Weather, Mumbai berhadapan risiko serius dilanda banjir dengan lebih 200 milimeter hujan yang dijangka turun beberapa hari. — AFP

Berita Harian X