Rabu, 3 Julai 2019 | 7:02pm
Sembilan orang awam cedera semalam dalam serangan pemberontak di lapangan terbang Abha di selatan Arab Saudi. Selain dron terbang rendah yang sukar dikesan, pemberontak juga menggunakan peluru berpandu pelayaran dalam serangan terbaharu ke atas kemudahan di Arab Saudi. -Foto Agensi

Bandar Arab Saudi terdedah ancaman dron Houthi

RIYADH: Pemberontak Houthi di Yaman meningkatkan serangan dron dan peluru berpandu ke arah bandar Arab Saudi, menonjolkan apa yang dikatakan penganalisis, kelemahan tentera negara itu di tengah meningkatnya ketegangan antara Tehran dan Amerika Syarikat (AS).

Sembilan orang awam cedera semalam dalam serangan pemberontak di lapangan terbang Abha di selatan negara pentadbiran diraja itu, kata tentera pakatan diketuai Arab Saudi yang menentang pemberontak, dalam siri terbaharu serangan.

Pemberontak mendakwa, mereka menyerang lapangan terbang dengan dron. Arab Saudi berdepan serangan Houthi empat tahun selepas melancarkan campur tangan tentera ke atas pemberontak di Yaman, di mana puluhan ribu terbunuh, menurut agensi bantuan.

Peningkatan penggunaan dron menyasar lapangan terbang awam Arab Saudi, loji penyulingan air dan infrastruktur lain susulan serangan peluru berpandu balistik Houthi, termasuk sesetengah menyasar ibu kota ini.

Ketika AS bekerja sama dengan Arab Saudi bagi menepis laluan penyeludupan peluru berpandu, dron muncul sebagai alternatif lebih berkesan dan murah untuk pemberontak, kata pakar.

Selain dron terbang rendah yang sukar dikesan, pemberontak juga menggunakan peluru berpandu pelayaran dalam serangan terbaharu ke atas kemudahan di Arab Saudi, kata pegawai AS dan Riyadh, dalam lonjakan keupayaan baharu ketenteraan mereka.

Ketua pemberontak, Abdel Malek al-Huthi berkata, mereka memiliki keupayaan untuk sampai ke sasaran ‘penting dan strategik’ di Arab Saudi dan satu lagi negara anggota penting, Emiriah Arab Bersatu (UAE). -AFP

Berita Harian X