Jumaat, 5 Julai 2019 | 9:22am
Pakar bedah di Austin Health di Melbourne, Natasha van Zyl.

Pakar bedah pulihkan fungsi tangan pesakit lumpuh

PARIS: Pakar bedah Australia berjaya memulihkan fungsi tangan pesakit yang lumpuh, membolehkan mereka menyuap makanan, menggunakan peralatan dan mengendalikan peranti elektronik, menurut hasil kajian penting yang disiarkan hari ini.

Tiga belas pesakit belia yang mengalami kecederaan tulang belakang menyebabkan kelumpuhan menjalani beberapa pembedahan dan fisioterapi dalam pelaksanaan teknik terbesar dikenali sebagai pembedahan pemindahan saraf.

Sepasukan pakar bedah berjaya dalam menyambung saraf individu dari atas zon kecederaan tulang belakang kepada saraf di bawah tapak trauma.

Saraf yang berfungsi kemudian digunakan untuk merangsang otot lumpuh di bawah zon kecederaan.

Setiap pemindahan saraf mengambil masa dua jam pembinaan semula yang cukup teliti, dan pasukan itu mengendalikan 59 pembedahan secara keseluruhan.

Dua tahun selepas prosedur, kebanyakan peserta dalam percubaan itu mampu menghulurkan tangan, membuka dan menutup genggaman dan memanipulasi objek.

Walaupun teknik pemindahan saraf jarang dilakukan, kebanyakan operasi bertujuan memulihkan fungsi anggota atas yang secara tradisi membabitkan pembinaan semula tendon.

Ini membabitkan penetapan semula otot yang masih berfungsi tetapi dicipta untuk fungsi lain ke tapak lain untuk melakukan kerja otot yang lumpuh.

“Pemindahan saraf sudah lama dilakukan tetapi ia tidak benar-benar digunakan untuk kecederaan tulang belakang sebelum ini,” kata pakar bedah di Austin Health di Melbourne, Natasha van Zyl. - AFP

Berita Harian X