Jumaat, 5 Julai 2019 | 6:24pm
Sebuah kedai runcit menampal notis tidak menjual atau membeli produk keluaran Jepun ketika kempen boikot barangan dari negara itu, di Seoul. Foto EPA

Seoul bubar yayasan kendali pampasan hamba seks Jepun

SEOUL: Sebuah yayasan yang ditubuhkan bagi menyelaras wang pampasan kepada hamba seks Jepun ketika perang, sudah dibubarkan secara rasmi.

Berita pembubaran itu diumumkan oleh pegawai kanan Korea Selatan.

Tokyo dan Seoul berjaya mengumpul dana sebanyak AS$8.8 juta (RM36.3 juta) ketika yayasan berkenaan ditubuhkan pada 2015, sebagai salah satu usaha berterusan untuk menyelesaikan isu kekejaman Jepun ketika penjajahannya pada 1910 hingga 1945.

Kedua-dua pihak bersetuju bahawa dana itu adalah cara penyelesaian terakhir kepada hamba seks, atau ‘wanita pendamping’, iaitu gelaran yang diberikan kepada individu yang dipaksa menyediakan perkhidmatan seks kepada tentera Jepun pada Perang Dunia Kedua.

Namun, hanya separuh daripada wang pampasan berkenaan sudah dituntut oleh mangsa atau keluarga mereka.

Sejak isu berkenaan tercetus, hubungan antara kedua-dua negara menjadi renggang, apabila ada beberapa pihak di Korea Selatan menganggap perjanjian pada 2015 itu, tidak meletakkan tanggungjawab sepenuhnya kepada Jepun.

Kementerian Kesamaan Gender Korea Selatan, iaitu badan kerajaan yang bertanggungjawab terhadap isu berkaitan hamba seks, berkata yayasan itu dalam proses pembubaran.

“Kami masih belum membuat keputusan mengenai apa yang dilakukan dengan dana yang disediakan oleh Tokyo,” kata jurucakapnya.

Dalam pada itu, Jepun menggesa Korea Selatan supaya mematuhi perjanjian berkenaan.

“Rancangan Kerajaan Korea Selatan untuk membubarkan yayasan itu adalah bercanggah dengan perjanjian Jepun-Korea Selatan dan ia akan menimbulkan masalah.

“Kami sudah menyatakan perkara ini berulang kali,” kata timbalan ketua setiausaha Kabinet Jepun, Yasutoshi Nishimura.

Langkah membubarkan yayasan itu dibuat selepas Tokyo mengehadkan beberapa eksport ke Korea Selatan, susulan pertikaian mengenai pampasan kepada individu yang dipaksa bekerja di kilang milik Jepun lebih tujuh dekad lalu. - AFP

269 dibaca
Berita Harian X