Isnin, 8 Julai 2019 | 9:50am
GAMBAR fail, Menteri Hal Ehwal Luar Negeri Iran, Mohammad Javad Zarif ditemuramah sewaktu mengadakan pertemuan pada Mesyuarat bersama Saintis, Ahli Akademik dan Pemimpin Media Malaysia di Kuala Lumpur pada 2016. - Foto Aizuddin Saad
GAMBAR fail, Menteri Hal Ehwal Luar Negeri Iran, Mohammad Javad Zarif ditemuramah sewaktu mengadakan pertemuan pada Mesyuarat bersama Saintis, Ahli Akademik dan Pemimpin Media Malaysia di Kuala Lumpur pada 2016. - Foto Aizuddin Saad

Iran sedia langgar perjanjian, tingkat had pengayaan uranium

TEHRAN: Iran berkata semalam, ia akan melanggar perjanjian pengayaan uranium yang ditetapkan perjanjian nuklear beberapa jam lagi, dalam cubaan menekan kuasa dunia lain untuk menunaikan janji.

Negara Republik Islam itu mengancam untuk mengurangkan lagi komitmen mereka selagi tiada jalan penyelesaian dicapai dengan baki negara anggota perjanjian nuklear 2015 selepas Washington menarik diri tahun lalu.

Setiausaha Negara Amerika Syarikat (AS), Mike Pompeo berkata di Twitter, Iran bakal berdepan pengasingan dan sekatan lebih ketat oleh Washington selain turut menerima amaran Presiden Donald Trump supaya Iran ‘lebih berhati-hati’.

Perjanjian Nuklear 2015 dicapai di antara Iran dan enam kuasa dunia termasuk Britain, China, Perancis, Jerman, AS dan Russia.

Menerusi perjanjian ini, Tehran bersetuju untuk mengurangkan program pengayaan nuklear sebagai ganti kepada penarikan semula sekatan.

Washington mengenakan kembali sekatan terhadap Iran pada Ogos 2018 dengan menyasar sektor utama negara itu termasuk eksport minyak dan sistem perbankan.

Menteri Luar Iran, Mohammad Javad Zarif berkata, Tehran akan terus mengurangkan komitmen mereka terhadap perjanjian berkenaan, namun langkah itu boleh diubah sekiranya Eropah menunaikan janji mereka.

Mengikut perjanjian, Iran dibenar melakukan pengayaan uranium pada 3.67 peratus, jauh di bawah 90 peratus gred senjata nuklear sebelum perjanjian dicapai. - AFP

Berita Harian X