Selasa, 9 Julai 2019 | 5:42pm
JURUCAKAP kementerian luar China, Geng Shuang.

China gesa AS segera batal penjualan aset tentera

BEIJING : China hari ini menggesa Washington untuk segera membatalkan penjualan senjata bernilai AS$2.2 bilion (RM9.12 bilion) kepada Taiwan yang mencakupi pesawat anti peluru berpandu dan kereta perisai.

Keputusan Jabatan Negara Amerika Syarikat (AS) untuk membenarkan penjualan aset ketenteraan negara itu kepada negara kepulauan berkenaan buat kali pertama dalam tempoh beberapa dekad dibuat serentak ketegangan yang berlaku antara Washington dan Beijing.

“Penjualan senjata oleh AS kepada Taiwan secara nyata mencabuli prinsip 1 China, mencampuri hal ehwal dalaman China dan memandang rendah kedaulatan serta kepentingan keselamatan China,” kata jurucakap kementerian luar, Geng Shuang.

Menurut Shuang, China sudah menghantar bantahan secara rasmi menerusi saluran diplomatik bagi menyuarakan rasa tidak puas hati dan bantahan atas tindakan itu.

“China menggesa AS untuk dengan segera membatalkan penjualan terbabit dan menghentikan hubungan ketenteraan bersama Taiwan bagi mengelakkan hubungan kedua negara menjadi rosak serta memudaratkan keamanan dan kestabilan di Selat Taiwan,” katanya.

Menurut Agensi Kerjasama Keselamatan Pertahanan AS (DSCA), perjanjian itu mencakupi 108 kereta perisai M1A2T Abrams, 250 pesawat anti perisai mudah alih Stinger dan beberapa peralatan sokongan.

Taiwan diperintah secara berasingan dari China sejak berakhirnya perang saudara pada 1949 namun Beijing masih menganggap negara itu sebahagian daripada wilayah yang perlu diambil semula, termasuk secara paksa jika perlu. - AFP

Berita Harian X