Sabtu, 20 Julai 2019 | 3:21pm
Kapal tangki membawa bendera Britain yang dirampas Iran kini berlabuh di pelabuhan Bandar Abbas. - Foto AFP

Iran lancar siasatan kapal Britain bertembung bot nelayan

TEHRAN: Kapal tangki membawa bendera Britain yang dirampas Iran kini berlabuh di pelabuhan Bandar Abbas dengan semua kru berada di dalamnya selepas bertembung dengan bot nelayan, kata pihak berkuasa hari ini.

Sementara itu, Iran membuka siasatan mengenai kemalangan berkenaan.

“Kapal tangki Britain, Stena Impero, bertembung dengan bot nelayan dalam laluannya dan, menurut undang-undang, siasatan mengenai punca kejadian perlu dibuat selepas kemalangan berlaku,” kata ketua pengarah pelabuhan dan maritim wilayah Hormozgan, Allah-Morad Afifipoor, kepada agensi berita Fars.

Ia mempunyai 23 kru dan semua berada dalam kapal di Bandar Abbas.

Lapan belas daripada kru ialah rakyat India, termasuk kapten, dan yang lain dari Filipina, Latvia dan Russia.

Berikutan pertembungan itu, kru bot nelayan menghubungi kapal Britain berkenaan tetapi tidak mendapat sebarang tindak balas, katanya.

“Apabila kapal Britain tidak memberi tindak balas kepada bot nelayan, mereka memaklumkan pejabat pelabuhan dan maritim Hormozgan menurut prosedur perundangan,” kata Afifipoor.

Britain berkata, Iran merampas dua kapal di Teluk, tetapi pemilik warga Britain satu daripada kapal tangki itu, Mesdar yang membawa bendera Liberia, berkata ia diserbu pasukan bersenjata, tetapi bebas bergerak dan semua kru selamat. — AFP

Berita Harian X