Isnin, 22 Julai 2019 | 9:38am
Polis berehat sebentar, selepas bertempur dengan penunjuk perasaan di Hong Kong. Foto AFP
Polis berehat sebentar, selepas bertempur dengan penunjuk perasaan di Hong Kong. Foto AFP

Polis Hong Kong tembak gas pemedih mata, peluru getah

HONG KONG: Bandar raya Hong Kong dilanda huru-hara malam tadi, selepas polis antirusuhan melepaskan gas pemedih mata dan peluru getah ke arah penunjuk perasaan antikerajaan.

Kejadian itu berlaku beberapa jam selepas pejabat Kerajaan China di sini, dilontar telur dan lukisan grafiti, sekali gus ia yang dianggap penentangan terbuka terhadap pemerintahan Beijing.

Susulan itu, asap dari gas pemedih mata menyelubungi kawasan perniagaan di sini, apabila polis berusaha meleraikan bantahan besar-besaran di hab kewangan berkenaan.

Pada masa sama, kumpulan bertopeng dipercayai penyokong kerajaan turut berhimpun di stesen kereta api, iaitu lokasi penunjuk perasaan, sambil memukul mereka yang berada di kawasan terbabit, termasuk wartawan yang menyiarkan insiden itu secara langsung.

Sejak beberapa minggu lalu, Hong Kong digegarkan dengan pelbagai perhimpunan dan insiden konfrontasi yang ganas membabitkan anggota polis serta penunjuk perasaan.

Pada awalnya, tunjuk perasaan itu dicetuskan oleh rang undang-undang ekstradisi yang sudah digantung pelaksanaannya.

Namun, sejak itu, bantahan merebak menjadi pergerakan lebih besar bagi mendesak perubahan demokrasi, hak mengundi dan kebebasan diperluaskan di wilayah separuh autonomi berkenaan.

Dalam perhimpunan semalam, penunjuk perasaan berkumpul di Yuen Long, iaitu daerah di wilayah baharu bandar raya itu dan berhampiran sempadan China, di mana kumpulan jenayah masih mempunyai pengaruh besar.

Justeru, serangan oleh kumpulan lelaki bertopeng dalam tunjuk perasaan kali ini, menimbulkan kebimbangan pelbagai pihak mengenai pembabitan kumpulan kongsi gelap dalam konflik politik. - AFP

Berita Harian X