X
Jumaat, 26 Julai 2019 | 8:03am
KIM Jong-un. - Foto Reuters
KIM Jong-un. - Foto Reuters

Korea Utara lancar roket jarak dekat terbaharu

SEOUL: Pemimpin Korea Utara, Kim Jong-un, menyelia pelancaran senjata taktikal jenis baru sebagai amaran kepada tentera Korea Selatan, lapor agensi berita KCNA hari ini.

Jong-un, secara peribadi mengatur dan menyaksikan pelancaran sistem persenjataan terbaharu itu semalam, lapor KCNA, rujukan kepada dua peluru berpandu jarak dekat yang dibedil ke laut.

Ketua Turus Staf Korea Selatan, berkata semalam, Pyongyang membedil roket tidak dikenali pada jam 5.34 pagi waktu tempatan dan satu lagi pada 5.57 pagi, dari kawasan Wonsan ke Laut Timur, dan ia terbang sekitar 430 kilometer.

Ia adalah ujian peluru berpandu pertama Pyongyang sejak pertemuan spontan antara Jong-un dan Presiden Donald Trump di zon bebas tentera antara kedua-dua Korea.

Pyongyang memberi amaran bahawa latihan perang Amerika Syarikat dan Korea Selatan akan memberi kesan sambungan rundingan pembatalan nuklear yang dirancang antara Washington dan Korea Utara.

Jong-un berpuas hati dengan keputusan ujian, menurut agensi berita itu.

Jong-un merungut pegawai Korea Selatan menunjukkan tindak-tanduk pelbagai ragam yang pelik dengan bercakap mengenai keamanan, tetapi di sebalik tabir mengumpulkan senjata moden dan mengadakan latihan tentera bersama.

‘Ketua Eksekutif’ Korea Selatan, merujuk kepada Presiden Moon Jae-in, tidak sepatutnya membuat kesilapan dengan tidak mengendahkan amaran Pyongyang, menurut KCNA.

Jong-un berkata, Korea Utara perlu membangunkan sistem senjata berkuasa besar tanpa henti untuk menangani ancaman langsung dari Korea Selatan ke atas keselamatan negara itu. — AFP

Berita Harian X