Selasa, 30 Julai 2019 | 9:32am
Seorang lelaki yang dipatuk ular membalas dendam dengan menggigit reptilia itu sehingga mati, di Uttar Pradesh, India. - Foto hiasan

Marah dipatuk, lelaki mabuk gigit ular sehingga mati

NEW DELHI: Seorang lelaki yang dipatuk ular membalas dendam dengan menggigit reptilia itu sehingga mati dalam kejadian yang berlaku di negeri Uttar Pradesh di utara India.

Raj Kumar sedang berehat sambil meminum arak di rumahnya di Etah, apabila ular memasuki premis itu dan mematuknya.

“Ular mematuknya. Jadi, sebagai balasan, dia menggigit dan mengunyah ular itu,” kata bapanya, Babu Ram.

Keluarga Kumar membawa beliau ke hospital dan keadaannya dikatakan kritikal, dan membawa ular yang digigit itu bersama-sama untuk ditunjukkan kepada doktor.

“Kes ini memang pelik. Saya pernah saksikan pesakit datang dengan kesan patukan.

“Namun tidak pernah melihat seseorang yang menggigit ular dan membawa ia bersama-sama di dalam beg,” kata Dr NP Singh yang merawat Kumar.

Reptilia yang mematuk Kumar dilaporkan adalah ular tikus yang dianggap pakar tidak berbisa.

Bapa Kumar berkata, mangsa dalam keadaan mabuk ketika kejadian berlaku kelmarin.

“Anak saya mabuk. Dia menggigit dan mengunyah ular,” kata Ram kepada media India. — Agensi

Berita Harian X