Khamis, 1 Ogos 2019 | 8:29pm
FOTO hiasan.

Lelaki bakar diri bantah peraturan perdagangan Jepun

SEOUL: Seorang lelaki Korea Selatan bertindak membakar dirinya sendiri hari ini bagi membantah peraturan perdagangan dilaksanakan Jepun dan dikejarkan ke hospital selepas mengalami kecederaan parah.

Ini adalah insiden kedua sejak Jepun memperketatkan peraturan eksport bulan lalu ke atas barangan berteknologi tinggi untuk dihantar ke Korea Selatan, dalam pertelingkahan yang semakin serius, sekali gus menjejaskan bekalan global untuk cip semikonduktor dan telefon pintar.

Menurut pegawai dari Stesen Bomba Jongro, lelaki berusia 70an itu meninggalkan nota di dalam beg, merayu Jepun memansuhkan kekangan perdagangan berkenaan.

Hubungan antara kedua negara berada dalam keadaan tegang sejak berdekad lalu susulan kemarahan Korea Selatan terhadap penjajahan Jepun ke atas semenanjung Korea dari 1910 hingga 1945.

Isu buruh paksa ketika perang kembali timbul tahun lalu apabila mahkamah Korea Selatan mengarahkan dua firma Jepun membayar pampasan kepada rakyat Korea yang dipaksa bekerja untuk mereka.

Ia menyebabkan Jepun berang, menyebabkan mereka bertindak mengetatkan peraturan perdagangan yang kemudiannya mendatangkan kemarahan Korea Selatan.

Korea Selatan hari ini menggesa Jepun memberi lebih waktu untuk berunding selepas rundingan untuk krisis yang lebih serius antara keduanya gagal dilakukan, sehari sebelum Jepun dijangka memutuskan sama ada mahu menggugurkan negara jiran itu dari senarai rakan perdagangan atau sebaliknya.

Korea Selatan memberi amaran, langkah mengeluarkan mereka dari senarai negara yang dibenarkan menikmati larangan minimum perdagangan bakal memberi kesan buruk, termasuk ke atas kerjasama keselamatan. - Reuters

278 dibaca
Berita Harian X