Isnin, 5 Ogos 2019 | 10:04am
Anggota polis Hong Kong mengawal keadaan selepas penunjuk perasaan menghalang laluan di Terowong Cross Harbour di Hong Kong. Foto Reuters

Tunjuk perasaan jejas sistem pengangkutan Hong Kong

HONG KONG: Lebih 100 penerbangan yang dijadualkan berlepas dari lapangan terbang di sini, terpaksa dibatalkan pagi ini, selepas penunjuk perasaan pro-demokrasi mengadakan perhimpunan besar-besaran di seluruh kota raya ini.

Ketika dihubungi, jurucakap lapangan terbang tidak memberi sebarang alasan berhubung pembatalan penerbangan, tetapi meminta penumpang memeriksa sama ada jadual berlepas pesawat masing-masing.

Perhimpunan itu turut menjejaskan perkhidmatan kereta api, yang menjadi pilihan orang ramai pada waktu puncak.

“Pihak berkuasa lapangan terbang menasihatkan penumpang supaya memeriksa dengan syarikat penerbangan masing-masing mengenai maklumat penerbangan.

“Mereka juga dinasihatkan hanya meneruskan perjalanan ke lapangan terbang apabila jadual serta tiket mereka sudah disahkan,” kata jurucakap lapangan terbang dalam satu kenyataan.

Dalam pada itu, aktivis berarak menuju ke beberapa stesen kereta api bawah tanah utama ketika waktu puncak awal pagi dan dengan sengaja membiarkan pintu terbuka bagi mengelak kereta api daripada meneruskan perjalanan.

Tindakan penunjuk perasaan itu mengakibatkan berlakunya pertengkaran antara mereka dengan orang ramai.

Walaupun ada pengguna yang berang dengan masalah kekecohan sistem pengangkutan itu, namun ada yang menyokong tindakan yang diambil oleh penunjuk perasaan, bagi mengubah amalan demokrasi di negara itu. - AFP

204 dibaca
Berita Harian X