Isnin, 5 Ogos 2019 | 7:03pm
ANGGOTA polis melepaskan gas pemedih mata susulan ke arah penunjuk perasaan di Hong Kong. - Foto Reuters

Polis Hong Kong berkas 420 orang sejak 9 Jun

HONG KONG: Polis Hong Kong mengesahkan sudah menahan 420 orang sejak 9 Jun selepas demonstrasi tercetus dalam tempoh beberapa bulan lalu hingga menggegarkan pulau bekas jajahan British itu.

Sepanjang bantahan berlaku polis turut melepaskan 1,000 gas pemedih mata dan kira-kira 160 peluru getah sejak tarikh itu, menyebabkan pulau itu terbabit dengan krisis politik terburuk dalam tempoh satu dekad.

Ketika laporan dibuat, satu lagi demonstrasi besar-besar berlaku hari ini, menjadi kacau bilau terbaru di Hong Kong, melumpuhkan perkhidmatan pengangkutan dan semua aktiviti harian terhenti.

Ketua Eksekutif Hong Kong, Carrie Lam bercakap kepada media kali pertama dalam tempoh dua minggu, mengulangi amaran kepada penunjuk perasaan yang menjadikan keadaan bandar itu berada dalam situasi yang sangat berbahaya dan cuba mewakili kedaulatan China.

Carrie yang menolak desakan penunjuk perasaan agar meletak jawatan sebaliknya mengatakan kerajaan akan bertindak tegas dalam menegakkan undang-undang dan memastikan keamanan.

Beliau turut mengingatkan penunjuk perasaan bahawa mereka sedang meletakkan bekas pulau jajahan British itu sukar untuk berpatah balik dan mengancam ekonominya.

“Mereka mendakwa mahukan revolusi dan menyelamatkan Hong Kong. Tindakan ini sudah terlalu jauh menyimpang daripada tuntutan asal,” katanya.

“Tindakan melanggar peraturan ini mencabar kedaulatan dan membahayakan ‘dua sistem satu negara’ yang bakal memusnahkan kestabilan dan kemakmuran Hong Kong,” katanya merujuk kepada sistem pentadbiran sejak 1997, ketika pulau itu diserahkan kembali kepada China. - Reuters.

Berita Harian X