Isnin, 5 Ogos 2019 | 8:34pm
Arab Saudi berjaya pintas dron pemberontak Houthi.

Arab Saudi pintas dron Houthi

RIYADH: Pertahanan udara Arab Saudi berjaya memintas dron pemberontak Yaman yang mensasarkan lapangan terbang awam, kata tentera bersekutu diketuai Riyadh, ketika kem pemberontak melakukan serangan rentas sempadan.

Tentera bersekutu dalam satu kenyataan disiarkan media tempatan berkata, serangan itu berlaku serentak tetapi gagal untuk mengenal pasti sasaran atau jumlah dron yang dipintas.

Terdahulu, televisyen pemberontak Houthi, Al Masirah melaporkan dron mereka mensasarkan lapangan terbang awam di selatan bandar Abha dan Najran termasuk pangkalan udara Raja Khaled di Khamis Mushait.

Serangan itu dibuat beberapa hari selepas pemberontak melakukan serangan maut terhadap kem latihan keselamatan dekat Aden, bandar yang dikuasai kerajaan Yaman.

Pemberontak berkata, mereka melancarkan dron dan peluru berpandu balistik ke arah kem terbabit. - AFP

Berita Harian X