Selasa, 6 Ogos 2019 | 5:21pm
Seorang lelaki cedera dirawat di jalanan selepas pertembungan ketika bantahan di daerah Tsuen Wan, Hong Kong, semalam. -Foto AFP

China beri amaran kepada penunjuk perasaan HK

BEIJING: China memberi amaran kepada penunjuk perasaan Hong Kong hari ini, mereka ‘yang bermain api akan binasa kerananya,’ menambah kekuatan sangat besar kerajaan pusat seharusnya tidak dipandang ringan.

Kenyataan itu mewakili satu daripada amaran lisan paling tegas setakat ini daripada kerajaan pusat China terhadap bantahan di bandar semi-autonomi itu, yang terjerumus ke kancah huru-hara susulan bantahan selama beberapa minggu.

Dalam sidang media di sini, jurucakap Pejabat Hal Ehwal Majlis Negara di Hong Kong dan Macau, Yang Guang berkata, bantahan radikal itu secara teruk memberi kesan terhadap kemakmuran dan kestabilan Hong Kong, menolaknya ke dalam jurang bahaya.

Bantahan itu, dicetuskan tentangan terhadap rang undang-undang yang membolehkan pesalah diekstradisi ke tanah besar China, bertukar kepada pergerakan pembaharuan meluas demokratik dan perlindungan kebebasan.

Yang berkata, kerajaannya masih ‘menyokong kukuh’ kedua-dua pasukan polis Hong Kong yang dikritik kerana cara menguruskan bantahan itu serta pemimpin pro-Beijing, Carrie Lam, yang dituntut penunjuk perasaan supaya meletak jawatan.

Dalam satu amaran keras menyasar ‘penjenayah’ di sebalik kekacauan itu, Yang berkata: “Jangan sesekali tersilap percaturan situasi itu dan menganggap tindakan kerajaan menahan diri sebagai lemah. Jangan memandang rendah sikap tegas dan kekuatan kerajaan pusat.”

Pertembungan itu meningkatkan tekanan ke atas Presiden China, Xi Jinping dan menjurus spekulasi bahawa Beijing mungkin terpaksa campur tangan dalam sesetengah kapasiti atau malah ketenteraan.

Yang bagaimanapun tidak mengetengahkan campur tangan polis atau tentera tanah besar, mengatakan kerajaan Hong Kong ‘berupaya sepenuhnya menghukum jenayah ganas mengikut undang-undang, memulihkan ketenteraman kepada masyarakat dan kestabilan.’

Bantahan semalam melumpuhkan sistem kereta api bawah tanah ketika waktu puncak awal pagi, menjurus banyak kedai ditutup dan melewatkan sejumlah besar penerbangan antarabangsa.

Dalam sidang media di Hong Kong, Lam memberi amaran, bandar itu menghampiri situasi ‘amat bahaya’ ketika beliau menganggap bantahan itu sebagai mencabar kedaulatan China.

“Saya berani mengatakan, mereka cuba memusnahkan Hong Kong,” katanya. -AFP


Jurucakap kerajaan China di Hong Kong dan Macau, Yang Guang (tengah) dalam sidang media ketika memberi amaran kepada penunjuk perasaan Hong Kong supaya tidak mencabar kerajaan Beijing. -Foto AFP

Berita Harian X