Rabu, 7 Ogos 2019 | 7:46pm
RAKAMAN menunjukkan skuad polis berhadapan ‘penunjuk perasaan’ memakai topi pembinaan dan topeng mula, menyamai dengan penunjuk perasaan di Hong Kong. - Foto REUTERS

Video latihan polis China cetus kebimbangan di Hong Kong

BEIJING: Ribuan anggota polis pencegah rusuhan China mengadakan latihan di seberang sempadan dengan Hong Kong, dalam apa yang kelihatan amaran berselindung Beijing mengenai kemampuannya menamatkan bantahan selama dua bulan di hab kewangan global itu.

Latihan itu, yang diadakan semalam di Shenzhen, bandar raya di selatan China yang bersempadan dengan Hong Kong, segera menarik perhatian atas talian memandangkan persamaan rapat antara latihan dan pertempuran berterusan di bandar raya itu.

Rakaman menunjukkan skuad polis berhadapan ‘penunjuk perasaan’ memakai topi pembinaan dan topeng mula, menyamai dengan penunjuk perasaan di Hong Kong.

Ketika mereka menyerang polis dengan tiang kayu panjang, pegawai menolak dengan perisai rusuhan dan menggunakan gas pemedih mata.

“Semua pasukan polis di Shenzhen sentiasa bersedia!” kata polis Shenzhen dalam kenyataan atas talian mengenai latihan semalam, yang membabitkan 12,000 pegawai polis.

Ia adalah video kedua dalam masa tidak sampai seminggu yang menyaksikan pasukan keselamatan China ditunjukkan bertindak ke atas penunjuk perasaan, menambah spekulasi mengenai kemungkinan campur tangan tentera atau polis tanah besar di Hong Kong.

Minggu lalu, tentera China, Tentera Pembebasan Rakyat (PLA), menyiarkan video propaganda menunjukkan latihan tentera bersenjata menamatkan bantahan di Hong Kong. —AFP

Berita Harian X