Khamis, 8 Ogos 2019 | 12:51pm
Peserta demonstrasi melaungkan beberapa slogan bantahan selepas Kerajaan India, menarik balik status separuh autonomi yang diberikan kepada Kashmir di Lahore, Pakistan, semalam. Foto EPA

Pakistan usir duta India susulan isu Kashmir

ISLAMABAD: Pakistan memutuskan hubungannya dengan New Delhi semalam, apabila bertindak mengusir duta India dan menggantung perdagangan antara kedua-dua negara, susulan krisis di Kashmir.

Terdahulu, India menarik balik status separuh autonomi selama tujuh dekad, yang diberikan kepada wilayah di pergunungan Himalaya itu, menerusi dekri presiden, iaitu beberapa jam selepas melaksanakan perintah berkurung.

Beberapa pakar meramalkan bahawa tindakan itu akan mencetuskan konflik dengan Pakistan, yang turut membuat tuntutan ke atas wilayah yang didiami majoriti penduduk Islam.

Ia juga dijangka mencetuskan pemberontakan yang sudah meragut puluhan ribuan nyawa penduduknya.

Sebelum ini, India dan Pakistan sudah menempuh dua peperangan bagi menuntut hak ke atas Kashmir.

Namun, New Delhi menegaskan bahawa tindakan menamatkan status separuh autonomi wilayah Kashmir adalah hal ehwal dalaman negara itu.

Dalam pada itu, Islamabad menggesa campur tangan masyarakat antarabangsa dan berjanji untuk membawa perkara itu ke Majlis Keselamatan Pertubuhan Bangsa-Bangsa Bersatu. - AFP

Berita Harian X