Jumaat, 9 Ogos 2019 | 10:01am
Beberapa penduduk Tokyo menggunakan payung bagi mengelak cuaca terik di daerah Nihonbashi. Foto Reuters

Pekerja bina pusat media Sukan Olimpik maut

TOKYO: Strok haba disyaki menjadi punca kematian seorang pekerja di tapak pembinaan, menjelang penganjuran Sukan Olimpik di sini, selepas ditemui tidak sedarkan diri di Tokyo Big Sight.

Tokyo Big Sight kini sedang diubahsuai untuk dijadikan pusat media bagi Sukan Olimpik Tokyo 2020.

Menurut stesen televisyen NHK, pekerja binaan berusia 50 tahun itu meninggal dunia ketika menerima rawatan di hospital, semalam.

Keadaan cuaca panas yang melanda sejak akhir Julai lalu, sudah mengorbankan sekurang-kurangnya 57 mangsa di seluruh Jepun.

NHK yang memetik polis melaporkan, keadaan di tapak pembinaan dipercayai menjadikan strok haba sebagai punca kematian, tetapi pihak berkuasa enggan mengesahkan laporan itu.

Penganjur Sukan Olimpik Tokyo 2020 juga gagal dihubungi untuk mendapatkan maklum balas.

Ketika ini, suhu di Tokyo sudah mencecah lebih 31 darjah celsius sejak 24 Julai lalu, iaitu genap setahun sebelum pembukaan acara sukan terbesar dunia berkenaan.

Suhu purata pada Ogos dianggarkan kira-kira 34.8 darjah celsius dan semalam, Tokyo mencatatkan suhu 35.5 darjah celsius.

Sekurang-kurangnya 57 penduduk meninggal dunia di seluruh Jepun akibat cuaca panas antara 29 Julai hingga 4 Ogos lalu, manakala 18,347 lagi dirawat di hospital.

“Daripada jumlah itu, kira-kira 45 maut di Tokyo sejak 1 Ogos lalu dan kebanyakannya membabitkan warga tua yang tinggal bersendirian,” lapor NHK. - Reuters

Berita Harian X