Jumaat, 9 Ogos 2019 | 11:18am
Sekumpulan peguam dan pekerja sektor perundangan berkumpul di luar bangunan Jabatan Kehakiman ketika protes di Hong Kong, kelmarin. Foto Reuters
Sekumpulan peguam dan pekerja sektor perundangan berkumpul di luar bangunan Jabatan Kehakiman ketika protes di Hong Kong, kelmarin. Foto Reuters

Hong Kong tingkat kawalan di lapangan terbang

HONG KONG: Pihak berkuasa lapangan terbang Hong Kong berkata, hanya penumpang yang memiliki dokumen perjalanan akan dibenarkan untuk memasuki bangunan terminal di lapangan terbang itu.

Langkah berkenaan dibuat menjelang perhimpunan selama tiga hari berturut-turut, yang bakal diadakan oleh aktivis antikerajaan, bagi meningkatkan kesedaran dalam kalangan pelancong yang tiba di kota raya itu.

“Bagi memastikan kelancaran proses prosedur pelepasan penumpang dan operasi terminal, hanya penumpang yang berlepas dan mempunyai tiket penerbangan atau pas berlepas bagi tempoh 24 jam akan datang, serta memiliki dokumen perjalanan yang sah, atau kakitangan lapangan terbang dengan bukti identiti akan dibenarkan memasuki laluan pendaftaran masuk di Terminal 1,” kata Pihak Berkuasa Lapangan Terbang dalam satu kenyataan.

Tindakan itu diambil selepas pihak berkuasa hari ini, mengesahkan bahawa komander polis yang bertanggungjawab menyelia demonstrasi prodemokrasi, yang menggegarkan wilayah bekas jajahan Britain itu pada 2014, dipanggil semula untuk membantu menangani protes yang sudah bertukar kepada krisis.

“Bekas timbalan pesuruhjaya polis, Alan Lau Yip-shing sudah dilantik untuk membantu melancarkan operasi beberapa acara membabitkan orang awam, termasuk pelbagai aktiviti bagi menyambut ulang tahun penubuhan Republik Rakyat China pada 1 Oktober ini,” kata kerajaan dalam satu kenyataan.

Semalam, Reuters yang memetik sumber melaporkan, keputusan memanggil semula Yip-shing dibuat kerana kerajaan kurang yakin dengan kepemimpinan polis dalam mengendalikan beberapa tunjuk perasaan.

Sementara itu, aktivis merancang untuk berkumpul di lapangan terbang hari ni, selain mengadakan lebih banyak protes di beberapa lokasi di kota raya ini, pada hujung minggu ini. - Reuters

Berita Harian X