Jumaat, 9 Ogos 2019 | 3:27pm
Anggota pasukan penyelamat meredah banjir yang melanda kawasan berhampiran sebuah kuil tenggelam akibat hujan lebat di pinggir Kochi di negeri selatan Kerala, India. - Foto REUTERS
Anggota pasukan penyelamat meredah banjir yang melanda kawasan berhampiran sebuah kuil tenggelam akibat hujan lebat di pinggir Kochi di negeri selatan Kerala, India. - Foto REUTERS

Tanah runtuh, banjir paksa 22,000 penduduk dipindah

BENGALURU: Hujan lebat di negeri Kerala di selatan India mencetuskan tanah runtuh dan banjir besar yang menyebabkan hubungan sebahagian kawasan terputus, kata pihak berkuasa hari ini.

Ia turut memaksa lebih 22,000 penduduk dipindahkan.

Banjir turut mendorong pihak pihak berkuasa menggantung operasi di Lapangan Terbang Antarabangsa Cochin, hab pengangkutan paling sibuk di Kerala.

Lapangan terbang itu, terletak di sepanjang sungai Periyar, akan ditutup sehingga jam 3.00 petang waktu tempatan Ahad ini.

Ketua Menteri Kerala, Pinarayi Vijayan, berkata di Twitter tanah runtuh besar berlaku di daerah berbukit di Munnar.

Katanya, pihak berkuasa mengkaji semua kemungkinan kaedah menyelamat.

Tentera India menyelamatkan mangsa banjir yang terkandas di pinggir Sangli di negeri Maharashtra, Karnataka dan Kerala, India. - Foto AFP
Tentera India menyelamatkan mangsa banjir yang terkandas di pinggir Sangli di negeri Maharashtra, Karnataka dan Kerala, India. - Foto AFP

“Semua urusan sudah dibuat untuk menangani bencana itu,” kata Vijayan.

Media India melaporkan sekurang-kurangnya dua maut dalam tanah runtuh, 70 rumah musnah dan puluhan lagi masih terperangkap.

Ada juga laporan sekurang-kurangnya 20 terbunuh disebabkan hujan lebat di Kerala sejak dua hari lalu.

Kerala dilanda banjir buruk Ogos tahun lalu yang meragut lebih 200 nyawa dan menjejaskan lebih lima juta penduduk. — Reuters

Berita Harian X