Jumaat, 9 Ogos 2019 | 6:56pm
Akihito dan Michiko. - Foto AFP

Bekas Maharani Michiko hidap barah payudara

TOKYO: Bekas Maharani Jepun, Michiko, didiagnos dengan barah payudara tahap awal dan akan menjalani pembedahan tidak lama lagi, kata Agensi Keluarga Diraja (IHA) hari ini.

Suami Michiko, Akihito turun takhta secara rasmi sebagai Maharaja April lalu, kali pertama dalam masa 200 tahun dalam monarki paling tua di dunia itu.

Jurucakap IHA berkata, Michiko, 84, didiagnos dengan barah payudara di hospital hari ini dan akan menjalani pembedahan tidak lama lagi.

Jun lalu, agensi itu mengumumkan Michiko akan menjalani pemeriksaan jantung selepas ujian darah menunjukkan beliau berisiko tinggi mengalami kegagalan organ itu.

Akihito dan Michiko dikenali kerana memodenkan monarki secara dramatik, merapatkan jurang dengan rakyat dan meningkatkan sokongan kepada istana.

Wanita rakyat biasa pertama mengahwini pewaris takhta, Michiko dilahirkan pada 1934 di Tokyo dan belajar di Sekolah Christian Sacred Heart menyambung pelajaran dalam sastera Inggeris di universiti.

Mereka bertemu di pertandingan tenis dan berkahwin pada 1959 dalam majlis yang mencetuskan kegilaan media. — AFP

Berita Harian X