Jumaat, 9 Ogos 2019 | 9:47pm
Anggota polis berkawal di hadapan sebuah hospital di mana seorang lelaki bersenjatakan pisau menikam tiga jururawat dan seorang anggota polis di Shikokuchuo, daerah Ehime di barat Jepun, hari ini. -Foto Reuters

Pesakit Jepun tikam 4 orang di hospital

TOKYO: Seorang lelaki bersenjatakan pisau menikam tiga jururawat dan seorang anggota polis di sebuah hospital di barat Jepun hari ini, kata polis, insiden tikaman terbaharu di negara itu.

Jururawat terbabit ditikam di bahagian dada dan perut namun kecederaan mereka tidak mengancam nyawa kata polis, menambah seorang anggotanya turut cedera di lengan kiri.

Polis menahan seorang pesakit lelaki berusia 45 tahun yang menikam seorang jururawat sebelum melarikan diri. Dua lagi jururawat dan anggota polis cedera ketika cuba menahan lelaki terbabit, kata polis.

Mei lalu, seorang lelaki bersenjatakan pisau mengelar kumpulan murid sekolah di perhentian bas, menyebabkan seorang murid perempuan terbunuh manakala 16 lain cedera dalam insiden yang mengejutkan negara itu. -Reuters

526 dibaca
Berita Harian X