Sabtu, 10 Ogos 2019 | 12:44pm
Taufan Lekima dijangka membadai bahagian Taiwan sebelum singgah ke tanah besar China pada awal hari Sabtu.- Foto Di Observatory Handout Earth / EPA

Lekima badai China, sejuta penduduk berpindah

SHANGHAI: Lebih sejuta orang terpaksa meninggalkan kediaman masing-masing sebaik saja taufan Lekima melanda tenggara China, awal pagi ini, lapor media tempatan.

Agensi berita Xinhua melaporkan, taufan yang membawa angin selaju 187 kilometer sejam itu melanda bandar Wenling membawa bersama hujan lebat menyebabkan bekalan elektrik terputus dan beribu-ribu pokok tumbang.

Menurut agensi itu, taufan ganas itu diramal menghala ke arah bandar raya Shanghai.

Pihak berkuasa memberi amaran kemungkinan berlaku banjir kilat dan tanah runtuh sebaik saja taufan itu melanda Shanghai kerana ia membawa hujan lebat menghala ke wilayah timur di Anhui, Fujian, Jiangsu dan Zhejiang.

Sementara itu, di Zhejiang saja, hampir 300 penerbangan dibatalkan, feri dan perkhidmatan rel terpaksa dihentikan sebagai langkah berjaga-jaga.

Setakat ini seramai suku juta penduduk ditempatkan semula di Shanghai dan lebih 110,000 penduduk di pindahkan ke penempatan sementara.

Pada September tahun lalu, taufan Mangkhut melanda tanah besar China, memaksa pihak berkuasa memindahkan lebih daripada dua juta orang, selepas ia membawa kemusnahan di Hong Kong dan Macau serta mengorbankan 59 orang di utara Filipina. - AFP

Berita Harian X