Sabtu, 10 Ogos 2019 | 4:21pm
TAUFAN Lekima yang melanda Shanghai. - Foto REUTERS

13 maut, 16 hilang ketika Taufan Lekima landa China

SHANGHAI: Sekurang-kurangnya 13 orang terbunuh manakala 16 lagi hilang dalam satu kejadian tanah runtuh yang dicetuskan oleh Taufan Lekima di timur China, kata stesen TV rasmi negara itu hari ini.

CCTV berkata, bencana itu turut mengakibatkan ratusan penerbangan keluar dan masuk dibatalkan dan lebih sejuta penduduk dipindahkan.

Taufan Lekima mendarat awal hari ini di timur wilayah Zhejiang membawa angin dengan kelajuan maksimum 187 kilometer sejam.

Biro kaji cuaca China hari ini mengeluarkan amaran oren, amaran kedua tertinggi selepas menarik balik amaran merah Jumaat lalu yang memaksa penerbangan dibatalkan di Taiwan dan aktiviti perniagaan ditutup.

Kejadian berlaku kira-kira 130 kilometer di utara bandar Wenzhou apabila sebuah empangan semula jadi runtuh, kata CCTV.

Setakat ini 250,000 penduduk Shanghai dan 800,000 penghuni di wilayah Zhejiang dipindahkan akibat taufan itu, manakala 2.72 juta isi rumah di Zhejiang terputus bekalan elektrik akibat angin kencang dan hujan lebat.

Taufan itu turut memaksa Shanghai Disneyland ditutup.

Ia dijangka tiba ke wilayah Jiangsu awal pagi esok dan mengubah haluan ke Laut Kuning sebelum bergerak ke utara dan mendarat semula di wilayah Shandong, kata CCTV.

Kementerian Pengurusan Kecemasan memberi amaran mengenai potensi berlakunya kebakaran, letupan dan kebocoran gas bertoksik di loji kimia dan pusat penapisan minyak. - Reuters

Berita Harian X