Isnin, 12 Ogos 2019 | 12:43am
Pemandangan kawasan yang dilanda banjir di Bengaluru. - Foto AFP
Pemandangan kawasan yang dilanda banjir di Bengaluru. - Foto AFP

Jumlah korban banjir di India meningkat 147 orang

BENGALURU: Jumlah kematian akibat banjir di negeri Karnataka, Kerala dan Maharashtra meningkat kepada 147 orang, menurut pihak berkuasa negeri, semalam.

Ketika ini, pasukan keselamatan masih bertungkus lumus memindahkan penduduk di kawasan terjejas. Difahamkan sebuah tapak warisan dunia turut ditenggelami air.

Hujan lebat dan tanah runtuh memaksa ratusan ribu penduduk berlindung di kem bantuan, sementara perkhidmatan kereta api dibatalkan di beberapa kawasan terjejas banjir.

Di negeri selatan India, Kerala sekurang-kurangnya 57 orang terbunuh dalam insiden berkaitan hujan, sementara lebih 165,000 orang berada di banyak kem bantuan di negeri itu, kata pihak berkuasa negeri.

“Banyak rumah masih di bawah timbunan lumpur dalam sehingga 3.6 meter. Ia menjejaskan usaha menyelamat,” kata ketua menteri, Pinarayi Vijayan.

Pihak berkuasa bimbang operasi menyelamat terganggu dengan ribut petir dan hujan lebat yang dijangka di beberapa kawasan di Kerala.

Tahun lalu, lebih 200 orang terbunuh di Kerala dan lebih lima juta penduduk terjejas dalam salah satu banjir terburuk dalam tempoh 100 tahun di negeri itu. - Reuters

Kabinet Malaysia 2020

Berita Harian X