Isnin, 12 Ogos 2019 | 5:29pm
RIBUAN kumpulan penunjuk perasaan yang melangkah memasuki dewan ketibaan di Lapangan Terbang Hong Kong untuk melancarkan bantahan. - Foto REUTERS

Hong Kong batal jadual penerbangan susulan bantahan

HONG KONG: Pihak berkuasa Hong Kong membatalkan semua baki jadual penerbangan pelepasan dan ketibaan ke hab kunjungan utama, di sini, hari ini.

Ini berikutan tindakan ribuan kumpulan penunjuk perasaan yang melangkah memasuki dewan ketibaan untuk melancarkan bantahan.

“Kecuali penerbangan pelepasan yang sudah melengkapkan proses daftar dan penerbangan ketibaan yang menghala ke Hong Kong, baki jadual penerbangan dibatalkan sepanjang hari ini,” menurut kenyataan pihak berkuasa lapangan terbang.

Keputusan itu dibuat selepas ribuan pembantah prodemokrasi membanjiri lapangan terbang dengan memegang sepanduk yang tertera kata-kata, “Hong Kong is not safe” dan “Shame on police”.

Kenyataan itu turut memberi amaran lapangan terbang itu sesak dan kemudahan di kawasan parkir dikatakan sudah penuh.

“Orang awam dinasihatkan jangan pergi ke lapangan terbang,” menurut kenyataan itu. - AFP

583 dibaca
Berita Harian X