Isnin, 12 Ogos 2019 | 11:18pm
Syarikat penerbangan Hong Kong, Cathay Pacific, hari ini, mengeluarkan amaran kepada kakitangannya bahawa mereka boleh dipecat jika menyokong atau menyertai tunjuk perasaan. - Foto AFP

Boleh dipecat jika sokong, sertai tunjuk perasaan - Cathay Pacific

HONG KONG: Syarikat penerbangan Hong Kong, Cathay Pacific, hari ini, mengeluarkan amaran kepada kakitangannya bahawa mereka boleh dipecat jika menyokong atau menyertai tunjuk perasaan, ketika syarikat itu berada di bawah tekanan Beijing.

Amaran itu dikeluarkan susulan pengenalan peraturan baharu pengawal selia penerbangan China yang memerlukan Cathay Pacific memberikan senarai kakitangannya dalam penerbangan ke tanah besar atau menggunakan ruang udara negara itu.

Beijing memaklumkan kepada syarikat itu bahawa kakitangannya yang terbabit dalam tunjuk perasaan di Hong Kong, sejak lebih dua bulan lalu, akan dilarang daripada penerbangan ke tanah besar.

Syarikat itu sebelum ini memaklumkan bahawa ia akan patuh kepada peraturan dengan memetik kepentingan perniagaan di China dan keperluan mematuhi peraturan tempatan.

Namun, dalam mesej kepada kakitangan, hari ini, ketua eksekutifnya, Rupet Hogg mengulangi bahawa kakitangan Cathay Pacific juga berdepan kesan tindakan disiplin, jika terbabit dengan tunjuk perasaan pro demokrasi.

“Kumpulan Cathay Pacific tidak berkompromi dengan aktiviti haram. Kakitanga yang menyokong atau menyertai tunjuk perasaan haram akan menerima kesan tindakan disiplin.

“Kesannya serius dan mungkin termasuk pemecatan,” katanya. - Reuters

1611 dibaca
Berita Harian X