Selasa, 13 Ogos 2019 | 12:57pm
LAPANGAN terbang Hong Kong dibuka semula selepas ditutup ekoran tunjuk perasaan oleh ribuan penyokong pro demokrasi. - Foto Reuters

Penerbangan dari Hong Kong disambung semula selepas tunjuk perasaan

HONG KONG : Lapangan terbang Hong Kong dibuka semula selepas ditutup ekoran tunjuk perasaan oleh ribuan penyokong pro demokrasi, namun masih mengekalkan senarai ratusan penerbangan yang dibatalkan.

Penutupan mendadak itu adalah senario terbaru dalam krisis 10 minggu yang menyaksikan jutaan penduduk memenuhi jalan raya Hong Kong, sekali gus mencatat sejarah sebagai cabaran terbesar buat kerajaan China di bandar separa autonomi itu sejak diambil alih dari Britain pada 1997.

Tunjuk perasaan yang berlaku semalam dikatakan berpunca daripada kemarahan orang ramai terhadap keganasan dilakukan pihak polis, malah ada yang mendakwa seorang wanita kehilangan sebelah mata dalam kekecohan itu manakala rakaman video menunjukkan gas pemedih mata digunakan di stesen kereta api bawah tanah.

Bantahan besar-besaran berkenaan mendatangkan kemarahan pihak berkuasa di Beijing semalam, yang menyifatkan ia sebagai tindakan pengganas.

Media negeri semalam turut melaporkan bagaimana pihak berkuasa yang lengkap bersenjata berhimpun tidak jauh dari sempadan Hong Kong.

Awal pagi tadi, penumpang yang membawa bagasi mendaftar masuk di balai pelepasan dan papan kenyataan menunjukkan beberapa penerbangan sudah sedia untuk berlepas.

Kekecohan di lapangan terbang itu bagaimanapun masih belum reda, dengan sejumlah besar penerbangan masih tergendala manakala aktivis sibuk menyeru peserta untuk sekali lagi mengadakan tunjuk perasaan tengah hari ini.

Penerbangan dari Cathay Pacific iaitu syarikat penerbangan utama Hong King mengesahkan lebih 200 penerbangan masih dibatalkan setakat pagi tadi.

Dalam kenyataan di laman web pada jam 6 pagi (waktu tempatan) tadi, syarikat itu menggesa penumpang menangguhkan perjalanan yang tidak perlu dari Hong Kong buat seketika. - AFP

Berita Harian X