Selasa, 13 Ogos 2019 | 1:34pm
KEROSAKAN akibat taufan Lekima yang melanda di Linan. - Foto AFP

Korban Lekima meningkat 49 orang

BEIJING: Angka korban taufan Lekima meningkat 49 orang hari ini dan 21 lagi masih hilang selepas ia membadai pantai timur China dengan angin kencang dan hujan lebat menyebabkan banyak kemusnahan, lapor agensi berita tempatan.

Agensi berita Xinhua melaporkan, Lekima yang melanda tiga wilayah di China iaitu, Zhejiang, Shandong dan Anhui sepanjang minggu, memaksa jutaan penduduk berpindah.

Rakaman video CCTV menunjukkan kawasan padang dan jalan raya ditenggelami air, kenderaan tenggelam, sampah terapung dan pokok tumbang disebabkan angin kencang.

Lekima mula membadai wilayah Zhejiang pada Sabtu lalu, membawa angin selaju 190 kilometer sejam dan menyebabkan kawasan perairan bergelora dengan gelombang tinggi beberapa meter.

Menurut Xinhua, hujan direkodkan minggu ini di wilayah Shandong paling tinggi sejak 1952.

Menurut pihak berkuasa bencana alam itu menyebabkan kerugian berjumlah 26 bilion yuan (RM15.51 bilion).

Pasukan penyelamat menggunakan bot dan tali untuk membantu penduduk yang terperangkap di kediaman mereka.

Bencana itu juga menyebabkan beribu-ribu penerbangan terpaksa di batalkan dan laluan kereta api turut terjejas disebabkan taufan itu.

Beberapa kawasan pelancongan di wilayah terbabit termasuk Shanghai Disneyland, terpaksa ditutup sementara. - AFP

314 dibaca
Berita Harian X