Selasa, 13 Ogos 2019 | 10:23pm
KAPAL tangki Grace 1 milik Iran. - Foto REUTERS

Tehran percaya Britain akan bebaskan Grace 1

DUBAI: Iran memaklumkan Britain mungkin akan membebaskan kapal tangki milik mereka, Grace 1 tidak lama lagi dalam insiden maritim yang memburukkan ketegangan antara Tehran dan Barat.

Namun, sumber kerajaan Britain di Gibraltar menafikan laporan Tehran itu bahawa pembebasan terbabit akan dilakukan, hari ini.

Gibraltar adalah lokasi kapal tangki itu ditahan atas dakwaan ia melanggar sekatan dengan menghantar minyak ke Syria.

Tehran menafikan kapalnya melakukan kesalahan dan sebagai tindak balas, Pengawal Revolusi negara itu merampas kapal tangki Stena Impero Britain di Selat Hormuz, 19 Julai lalu, atas dakwaan kesalahan marin.

Timbalan Ketua Pertubuhan Pelabuhan dan Maritim Iran, Jalil Eslami berkata, Britain sedang mempertimbangkan pembebasan Grace 1, susulan pertukaran beberapa dokumen.

“Kapal ini ditahan atas dakwaan palsu, ia masih belum dibebaskan. Kami berharap pembebasannya akan dilakukan segera,” kata Eslami.

Agensi berita Fars Iran yang memetik sumber pihak berkuasa Gibraltar yang tidak dinyatakan berkata, kapal tangki itu dijadualkan dibebaskan, hari ini.

Insiden penahanan kapal tangki itu memburukkan lagi ketegangan, sejak Washington menarik diri daripada perjanjian antarabangsa untuk mengehadkan program nuklear Iran dan melaksanakan semula sekatan. - Reuters

Berita Harian X