Rabu, 14 Ogos 2019 | 10:42am
Priyanka Chopra. - Foto AFP

PBB digesa tarik gelaran Duta Priyanka Chopra

ISLAMABAD : Menteri Hak Asasi Manusia Pakistan, Shireen Mazari menggesa UNICEF menarik semula gelaran Duta Goodwill Pertubuhan Bangsa Bangsa Bersatu (PBB) daripada pelakon Priyanka Chopra kerana menyokong Tentera India.

“UNICEF perlu menarik semula gelaran Duta UN daripada Priyanka Chopra pada kadar segera atas sokongan beliau terhadap tentera India dan kerajaan ganas Modi. Jika tidak ia hanya merosakkan gelaran itu. UNICEF perlu lebih berhati-hati dengan pemberian gelaran itu,” kata Mazari menerusi Twitter semalam.

Priyanka dikecam penyokong pro Pakistan apabila menyatakan sokongan ke atas tentera India dan menyeru mereka untuk berperang dengan Pakistan selepas serangan Pulwama, khususnya ketika ketegangan antara dua negara jiran itu semakin memuncak.

Dalam satu majlis di Los Angeles baru-baru ini, Priyanka menerima jeritan daripada seorang wanita Pakistan dikenali sebagai Ayesha Malik yang menuduh aktres kelahiran India itu sebagai seorang hipokrit dan menggalakkan perang nuklear ke atas Pakistan.

“Anda adalah duta UNICEF untuk keamanan dan anda menggalakkan perang nuklear terhadap Pakistan. Tiada pemenang dalam hal ini. Sebagai seorang rakyat Pakistan, jutaan individu seperti saya menyokong anda dalam industri Bollywood dan anda mahukan perang nuklear,” katanya.

Kecaman itu bagaimanapun dibalas semula Priyanka yang mempertahankan tindakan itu sebagai tanda cinta kepada negara kelahirannya.

“Saya memiliki ramai sahabat dari Pakistan dan saya berasal dari India. Peperangan bukan sesuatu yang saya gemari namun saya seorang yang patriotik jadi saya meminta maaf jika saya menyinggung sentimen orang yang menyukai saya.

“Namun saya berpendapat kita semua perlu memiliki pendirian masing-masing. Sama seperti anda. Cara anda menghampiri saya ketika ini..tolong jangan menjerit. Kita semua berada di sini dengan penuh kasih sayang,” katanya. - Agensi

4390 dibaca
Berita Harian X