Rabu, 14 Ogos 2019 | 12:44pm
ANGGOTA polis mengawal di lapangan terbang Hong Kong. - Foto Reuters

Penunjuk perasaan berundur dari lapangan terbang Hong Kong

HONG KONG: Penunjuk perasaan pro demokrasi berundur dari lapangan terbang Hong Kong hari ini selepas protes besar-besaran selama dua hari yang bertukar ganas.

Tunjuk perasaan itu berakhir awal pagi tadi selepas siri pertempuran dengan pihak berkuasa yang menyaksikan seorang anggota polis bertindak mengacukan pistol apabila dipukul perusuh, manakala anggota lain menggunakan penyembur lada bagi mententeramkan keadaan.

Protes berkenaan melumpuhkan satu daripada hub perjalanan paling sibuk dunia itu, sekali gus memburukkan lagi krisis 10 minggu itu yang juga cabaran terbesar untuk pentadbir China setakat ini selepas mengambil alih Hong Kong dari kerajaan British pada 1997.

Presiden Amerika Syarikat (AS), Donald Trump bimbang Beijing mungkin sudah bersedia melakukan campur tangan ketenteraan bagi mengakhiri semua kekacauan, khususnya selepas menerima maklumat risikan semalam bahawa pasukan China sedang bergerak ke arah sempadan Hong Kong.

Tunjuk perasaan terbabit yang menyaksikan jutaan penduduk memenuhi jalan raya Hong Kong dicetuskan oleh bantahan terhadap undang-undang baru, membenarkan ekstradisi ke tanah besar China.

Ia kemudian segera berlanjutan kepada kempen menuntut kebebasan dan menghentikan pengaruh kerajaan China di bandar separa autonomi itu,

Sejak Isnin lalu, ribuan penunjuk perasaan yang memakai baju t berwarna hitam berhimpun di lapangan terbang Hong Kong, memaksa ratusan penerbangan dibatalkan.

Selepas pada mulanya menyuarakan niat untuk mengadakan bantahan secara aman, mereka bertukar keras semalam dengan membina penghadang menggunakan troli penumpang bagi menghalang penumpang di balai pelepasan.

Lewat malam tadi, tunjuk perasaan bertukar ganas apabila terbabit dalam pertempuran bersama polis, malah mereka turut bergaduh bersama penumpang yang mahu menaiki penerbangan. - AFP

Berita Harian X