Rabu, 14 Ogos 2019 | 1:59pm
MICHELLE Blachelet. - Foto AFP

China tolak kenyataan PBB, anggota cuba campur tangan

HONG KONG: China semalam menolak kenyataan dibuat ketua hak asasi manusia Pertubuhan Bangsa Bangsa Bersatu (PBB), Michelle Blachelet ke atas Hong Kong dan menyifatkan ia sebagai tidak tepat.

Kenyataan itu juga dianggap Beijing sebagai mencampuri hal ehwal dalaman negara serta memberi isyarat yang salah pada semua penjenayah.

Terdahulu, Bachelet menggesa Hong Kong mengelak dari menggunakan kekerasan dan menyiasat dakwaan penggunaan gas pemedih mata oleh pasukan keselamatan ke arah peserta tunjuk perasaan dengan kaedah dilarang di peringkat antarabangsa.

Wakil China ke PBB di Geneva dalam satu kenyataan berkata, peserta memecahkan kemudahan awam, melumpuhkan operasi lapangan terbang, menghalang pengangkutan awam dan menggunakan senjata terlarang, sekali gus menunjukkan ciri-ciri pengganas.

“Kerajaan pusat China menyokong Ketua Eksekutif Hong Kong, Carrie Lam dan kerajaan SAR dalam melaksanakan tugas berpandukan undang-undang serta menyokong pasukan polis Hong Kong dan badan kehakiman,” kata kenyataan itu.

Penunjuk perasaan bertempur dengan polis di lapangan terbang antarabangsa Hong Kong semalam, menyebabkan sejumlah besar penerbangan terpaksa dibatalkan.

Pertempuran itu tercetus petang semalam antara pihak polis dan peserta selepas seorang individu dibawa ke terminal utama oleh pasukan perubatan kerana mengalami kecederaan.

Ratusan penerbangan dibatalkan atau digantung sementara semalam ketika protes di hab penerbangan itu memasuki hari kelima. - Agensi

Berita Harian X