Rabu, 14 Ogos 2019 | 5:35pm
PERDANA Menteri Pakistan, Imran Khan

PM Pakistan ikrar sokong penduduk Kashmir

ISLAMABAD: Perdana Menteri Pakistan, Imran Khan menggunakan kesempatan ucapannya sempena hari kemerdekaan negara itu hari ini, untuk mengkritik India disebabkan tindakan negara itu terutama dalam soal pertikaian wilayah Kashmir.

India membatalkan kedudukan istimewa wilayah Himalaya Kashmir, yang dikenali sebagai Jammu dan Kashmir pada 5 Ogos lalu dan memutuskan komunikasi serta menghalang pergerakan bebas.

Islamabad pula membalas dengan menggantung hubungan perdagangan dua hala dan hubungan pengankutan awam dengan India, termasuk menghalau duta New Delhi ke Islamabad.

“Hari kemerdekaan adalah peluang terbaik untuk merayakannya dengan gembira, tetapi hari ini kita bersedih mengenang nasib saudara di Kashmir yang tinggal di Jammu dan Kashmir menjadi mangsa penindasan India.

“Saya memberi jaminan kepada saudara-saudara Kashmir bahawa kami akan bersama mereka,” kata Imran dalam satu kenyataan.

Lembah Kashir dan rantau yang dikuasai Hindu di sekitar Jammu berada di bawah pemerintahan India, manakala Pakistan pula mengawal wilayah di barat yang dikenali sebagai Azad Kashmir dan China pula menguasai kawasan tanah tinggi di wilayah utara.

Pembatalan status istimewa Jammu dan Kashmir yang di buat India menghalang hak negeri itu untuk menggubal undang-undangnya sendiri dan membolehkan bukan pemastautin membeli harta di wilayah itu. - Reuters

663 dibaca
Berita Harian X