Sabtu, 17 Ogos 2019 | 8:10pm
Perdana Menteri Pakistan, Imran Khan. - Foto Reuters

Pakistan sambut baik PBB bincang isu Kashmir

ISLAMABAD: Perdana Menteri Pakistan, Imran Khan menyambut baik keputusan Majlis Keselamatan Pertubuhan Bangsa-Bangsa Bersatu (PBB) untuk membincangkan ketegangan di wilayah Kashmir yang dipertikaikan, sehari selepas India mengutuk mesyuarat jarang berlaku itu.

Awal bulan ini, ketegangan memuncak, selepas India menarik balik kuasa autonomi wilayah Kashmir yang ditadbirnya sehingga menyebabkan Pakistan menggesa komuniti antarabangsa campur tangan dalam isu sejak berdekad-dekad itu.

“Saya menyambut baik mesyuarat Majlis Keselamatan untuk membincangkan situasi wilayah Jammu dan Kashmir yang dijajah.

“Usaha mengatasi kesengsaraan rakyat Kashmir dan menyelesaikan pertikaian ini adalah tanggungjawab badan dunia ini,” kata Khan.

Difahamkan, ia adalah kali pertama badan dunia itu memberikan tumpuan kepada pertikaian di Himalaya terbabit, sejak 1971.

Menteri luar Pakistan, Shah Mehmood Qureshi berkata, pihaknya sudah menubuhkan meja Kashmir di semua ibu negara dunia untuk melobi bagi penduduk Kashmir dan hak menentukan negara sendiri.

Tentera negara itu juga bersedia melakukan tindak balas terhadap keganasan India, susulan mesyuarat PBB itu, katanya dalam sidang media bersama jurucakap tentera Pakistan, Asif Ghafoor.

India sering menegaskan bahawa isu Kashmir hanya boleh diselesaikan secara dua hala dengan Paksitan dan duta New Delhi ke PBB, Syed Akbaruddin menyuarakan kejengkelan berhubung mesyuarat Majlis Keselamatan, Jumaat lalu. - AFP

Berita Harian X