Selasa, 20 Ogos 2019 | 12:45pm
Seramai 13 pelancong warga China disahkan maut ketika dalam perjalanan ke Luang Prabang, Laos. Foto Agensi

13 pelancong China maut di Laos

BANGKOK: Sekurang-kurangnya 13 pelancong warga China maut, manakala puluhan lagi cedera, selepas bas yang dinaiki terbabas, lalu jatuh sejauh 30 meter ke dalam gaung di Laos.

Menurut polis, bas berkenaan membawa lebih 40 penumpang rakyat China dan sedang dalam perjalanan ke bandar tumpuan pelancong, Luang Prabang, ketika kejadian itu berlaku, semalam.

“Setakat ini, 13 mayat sudah berjaya ditemui, manakala dua lagi masih hilang,” kata pegawai polis, Xaiyaphon Chitavong kepada AFP.

Katanya, kemalangan itu dipercayai berpunca daripada masalah brek bas terbabit.

Beliau berkata, seramai 31 penumpang yang cedera sudah menerima rawatan perubatan.

Media tempatan China yang melaporkan kejadian itu, turut menyiarkan gambar anggota penyelamat sedang meredah banjir di kawasan kemalangan berkenaan.

Sementara itu, kemalangan jalan raya sering berlaku di Laos, Thailand, Kemboja Myanmar berikutan kelemahan penguatkuasaan dan peraturan keselamatan.

Musim monsun sepanjang Jun hingga Oktober juga menjadikan kebanyakan jalan di kawasan luar bandar menjadi licin akibat hujan lebat. - AFP

Berita Harian X