Rabu, 21 Ogos 2019 | 11:58am
Simon Cheng, kakitangan Konsulat Britain di Hong Kong, yang dilaporkan ditahan di Shenzhen, China. Foto Reuters

Britain siasat laporan kakitangan konsulat ditahan di China

HONG KONG: Britain menyatakan kebimbangannya berhubung laporan kehilangan seorang kakitangan konsulatnya di Hong Kong, yang dipercayai ditahan di tanah besar China.

Laman web HKO1 yang memetik teman wanita dan ahli keluarga Cheng melaporkan, beliau tidak kembali bertugas seperti biasa pada 9 Ogos lalu selepas ke Shenzhen, China sehari sebelumnya.

Keluarga Cheng mengesahkan kehilangannya semalam di laman Facebook, mengatakan beliau ke Shenzhen dari Hong Kong pada pagi 8 Ogos lalu atas urusan kerja.

“Beliau kembali semula ke Hong Kong pada malam hari yang sama menggunakan kereta api berkelajuan tinggi (HSR), dan menghantar pesanan ringkas kepada teman wanitanya menerusi WhatsApp dan Wechat sebelum melepasi kastam pada jam 10 malam. Kami terputus hubungan dengannya sejak itu,” kata entri berkenaan.

Sementara itu, seorang wakil dari Pejabat Hal Ehwal Luar Negara dan Komanwel Britain dalam satu kenyataan, berkata: “Kami sangat bimbang dengan laporan bahawa seorang kakitangan kami ditahan dalam perjalanan pulang ke Hong Kong dari Shenzhen”.

Kementerian Luar China ketika dihubungi media enggan mengulas lanjut mengenai kes berkenaan.

Polis Hong Kong juga masih belum membuat sebarang kenyataan berhubung kes itu.

Hong Kong kembali dicengkam protes antikerajaan sejak beberapa minggu lalu dengan Beijing mendakwa Britain dan beberapa negara Barat lain cuba mencampuri hal ehwal negara itu.

Terdahulu, Britain, Amerika Syarikat dan negara lain menggesa China untuk menghormati formula ‘satu negara, dua sistem’ yang diamalkan, sejak Hong Kong diserahkan semula kepada China pada 1997. - Reuters

280 dibaca
Berita Harian X