Rabu, 21 Ogos 2019 | 4:29pm
Kakitangan makmal memotong ikan untuk ujian tahap radiasi di pelabuhan perikanan Matsukawaura di Soma, wilayah Fukushima, Jepun. -Foto Reuters

Korea Selatan ganda ujian radiasi untuk makanan import Jepun

SEOUL: Korea Selatan berkata hari ini, ia akan menggandakan ujian radiasi untuk sesetengah makanan diimport dari Jepun berikutan potensi pencemaran akibat loji jana kuasa nuklear Fukushima yang rosak dilanda tsunami.

Hubungan antara dua sekutu Amerika Syarikat (AS) itu berada di tahap terburuk sejak bertahun lalu, dengan pertelingkahan perdagangan berpunca daripada permusuhan akibat bayaran pampasan untuk wanita pendamping Korea Selatan ketika perang di negara itu.

Bulan ini, Korea Selatan meningkatkan tuntutan kepada Jepun supaya memberi maklum balas terhadap kebimbangan makanan dihasilkan di kawasan Fukushiwa dan laut berhampiran mungkin dicemari radiasi daripada loji jana kuasa nuklear Daiichi.

Kementerian Keselamatan Makanan dan Ubatan Korea Selatan (MFDS) berkata, ia akan menggandakan kekerapan ujian mana-mana produk makanan dengan sejarah dikembalikan dalam tempoh lima tahun selepas sejumlah radiasi dikesan.

“Oleh kerana orang awam bimbang mengenai pencemaran radioaktif yang meningkat baru-baru ini, kami bercadang untuk melakukan pemeriksaan lebih menyeluruh bermula 23 Ogos ini,” kata Ketua Pengarah MFDS, Lee Seoung-yong.

Import makanan terjejas dari Jepun agak minimum, oleh kerana hanya kira-kira dua tan hasil dikembalikan daripada sejumlah 190,000 tan makanan import setiap tahun, kata Seoung-yong.

Seorang pegawai di Kementerian Pertanian, Perhutanan dan Perikanan berkata, produk makanan Jepun selamat dan meningkatkan ujian radiasi tidak perlu.

“Keselamatan makanan Jepun dijamin dan tiada sekatan tambahan diperlukan. Banyak negara bersetuju dengan peraturan ini dan memansuhkan sekatan import sepenuhnya. Agak dikesali langkah tambahan ini dilaksanakan,” kata pegawai.

Penganjur Olimpik Tokyo 2020 berkata semalam, Jawatankuasa Olimpik Korea Selatan menghantar sepucuk surat menyuarakan kebimbangan berhubung kemungkinan makanan ditanam di wilayah Fukushima dihidangkan kepada atlet di perkampungan sukan.

Kementerian Luar Korea Selatan kelmarin memanggil menteri ekonomi dari kedutaan Jepun di sini berhubung laporan media dan dakwaan kumpulan alam sekitar antarabangsa bahawa negara itu bercadang melepaskan air tercemar dari loji Fukushima ke laut. -Reuters

101 dibaca
Berita Harian X