Rabu, 21 Ogos 2019 | 9:40pm
Gambar menunjukkan sebuah jambatan rosak akibat hujan lebat di bandar Shuimo daerah Wenchuan, dalam rantau autonomi Aba Tibetan dan Qiang. -Foto Xinhua

8 maut, 26 hilang, hujan lebat di barat daya China

CHENGDU: Lapan maut manakala 26 lagi hilang selepas hujan lebat sejak semalam melanda rantau autonomi Aba Tibetan dan Qiang di barat daya wilayah Sichuan, China, kata pihak berkuasa hari ini.

Sehingga tengah hari ini, bencana akibat hujan lebat itu menyebabkan enam cedera termasuk tiga parah dan lebih 100,000 orang perlu dipindahkan serta memerlukan bantuan kecemasan, menurut pusat arahan menyelamat tempatan, dipetik agensi Xinhua.

Biro pengurusan kecemasan wilayah menghantar helikopter untuk pemindahan dan menghantar makanan serta bekalan.

Lebih 34,000 pelancong dikeluarkan dari daerah Wenchuan, yang dilanda beberapa kejadian tanah runtuh susulan hujan lebat.

Pihak berkuasa tempatan juga menjalankan usaha memindahkan lebih 12,000 pelancong yang terperangkap dalam zon pentadbiran khas Wolong di Wenchuan.

Menjelang jam 12.15 pagi hari ini, bekalan kuasa dan komunikasi pulih di bandar Gengda, Wolong namun bekalan air masih terjejas.

Usaha mencari dan menyelamat masih dijalankan pihak berkuasa. -Agensi

292 dibaca
Berita Harian X