Jumaat, 23 Ogos 2019 | 8:48am

Australia henti program pendidikan China

SYDNEY: Australia akan menghentikan program pendidikan yang ditaja kerajaan China di beberapa sekolah di negara itu susulan bimbang akan potensi wujudnya pengaruh asing.

Program Institut Confucius kendalian agensi kerajaan China Hanban itu mengajar bahasa Mandarin di 13 sekolah awam di seluruh New South Wales (NSW).

Bagaimanapun, kerajaan NSW dalam satu penilaian berkata, walau mereka tidak mengesan sebarang bukti wujudnya gangguan, adalah tidak wajar untuk program itu diteruskan.

“Penilaian itu mendapati beberapa faktor tertentu yang mungkin akan meningkatkan persepsi bahawa Institut Confucius mampu membawa ke arah pengaruh asing yang tidak sesuai,” kata kenyataan itu.

NSW adalah satu-satunya kerajaan negeri di dunia yang menyediakan program sedemikian dan meletakkan wakil yang dilantik kerajaan China di jabatan pendidikannya.

Pembatalan program berkenaan dibuat ketika kebimbangan terhadap aktiviti China di Australia dan sekitar rantau Pasifik semakin meningkat termasuk hubungan yang tegang sejak beberapa tahun lalu.

Sehingga kini kedutaan China di Canberra masih gagal dihubungi untuk mengulas lanjut isu berbangkit. - Reuters

8196 dibaca
Berita Harian X