Ahad, 25 Ogos 2019 | 2:31pm
Penunjuk perasan bertempur dengan polis di Ngau Tau Kok, Hong Kong. - Foto Reuters

29 peserta tunjuk perasaan ditahan polis

HONG KONG: Polis Hong Kong hari ini mengesahkan penahanan 29 penunjuk perasaan yang terbabit dalam pertempuran bersama pihak berkuasa malam tadi, hingga memaksa tembakan gas pemedih mata dilepaskan bagi menyuraikan keadaan.

Aktivis semalam melempar bom petrol dan batu bata di kawasan perindustrian Kwun Tong, iaitu lokasi padat penduduk di timur semenanjung Kowloon, menyebabkan empat stesen kereta api bawah tanah terpaksa ditutup.

Polis menggunakan gas pemedih mata selepas beberapa peserta melempar koktel Molotov dan batu bata, manakala sebilangan lain merosakkan tiang lampu yang dilengkapi kamera pemantau.

Beberapa penunjuk perasaan pula dilihat menghalang jalan menggunakan batang buluh.

Ini adalah kali pertama gas pemedih mata digunakan dalam tempoh lebih seminggu selepas siri demonstrasi yang lazimnya berlangsung dengan aman di bekas koloni British itu.

Pengangkutan ke lapangan terbang antarabangsa bandar itu bagaimanapun kelihatan normal awal pagi tadi meskipun terdapat rancangan peserta untuk ‘mencetuskan gangguan’ di hab penerbangan berkenaan.

Satu lagi tunjuk perasaan dirancang diadakan di kawasan pekerjaan Tsuen Wan malah mereka turut bercadang mengadakan mogok seluruh kepulauan, selain memboikot kelas universiti untuk beberapa minggu akan datang.

Polis dalam satu kenyataan hari ini berkata, mereka mengecam semua penunjuk perasaan yang mencemarkan keamanan awam semalam, dan mengesahkan penahanan 19 lelaki serta 10 wanita.

Antara yang ditahan termasuk penganjur demonstrasi semalam, dikenali sebagai Ventus Lau. - Reuters

310 dibaca
Berita Harian X