Selasa, 27 Ogos 2019 | 9:02pm

China tolak kenyataan G7 sentuh isu Hong Kong

BEIJING: China semalam menolak keras kenyataan bersama yang dikeluarkan pemimpin G7 yang menyokong autonomi Hong Kong sekali gus menggesa keamanan dicapai selepas berbulan berdepan tunjuk perasaan.

Mesyuarat pemimpin G7 di Perancis semalam menyokong autonomi Hong Kong seperti yang ditetapkan di dalam perjanjian 1984 di antara Britain dan China dan menyeru keamanan segera dicapai di kota yang bergolak itu.

Sebaliknya Beijing menuduh kerajaan asing mencampuri hal ehwal Hong Kong, dan jurucakap kementerian luarnya Geng Shuang berkata G7 cuba mengganggu dan mempunyai niat jahat.

“Kami menyuarakan rasa tidak puas hati kami dan membangkang kenyataan yang dibuat oleh pemimpin Sidang Kemuncak G7 mengenai hal ehwal Hong Kong,” kata Shuang pada satu taklimat media di Beijing.

“Kami berulang kali menegaskan bahawa hal ehwal Hong Kong adalah urusan dalaman mutlak China dan tiada kerajaan asing, organisasi atau individu yang berhak untuk campur tangan.”

Sejak dua bulan lalu, Hong Kong berdepan protes besar-besaran berikutan cubaan kerajaan yang disokong Beijing untuk meluluskan rang undang-undang ekstradisi yang dilihat pembangkang sebagai menggugat status autonomi kota itu.

Kenyataan G7 itu menyebut, pemimpin Britain, Kanada, Perancis, Jerman, Itali, Jepun dan Amerika Syarikat (AS) menyeru keamanan dikembalikan segera.

Beijing sebelum ini menuduh Britain campur tangan dalam hal ehwal pentadbiran wilayah semi-autonomi yang diserahkan kembali kepada China pada 1997 itu.

Hab kewangan itu terus berdepan pergolakan pada hujung minggu lalu, dengan polis terpaksa menggunakan meriam air dan melepaskan tembakan amaran untuk menyuraikan penunjuk perasaan. Ia juga antara tunjuk perasaan terburuk sepanjang pergolakan politik sejak 12 minggu lalu di kota itu.

Setakat ini, Beijing tidak pernah campur tangan dalam kekacauan di bandar semi-autonomi itu, walaupun sering bermain retorik dengan penunjuk perasaan dan mengugut mereka mungkin akan menggunakan kuasa tentera untuk meredakan keganasan. - AFP

Kabinet Malaysia 2020

Berita Harian X