Khamis, 29 Ogos 2019 | 12:35pm
Tentera China kini selesai melengkapkan penggiliran rutin tenteranya di Hong Kong, dengan pasukan udara, darat dan maritim memasuki wilayah itu, kata laporan. -Foto Agensi

China tempatkan PLA di Hong Kong untuk penggiliran rutin

BEIJING/HONG KONG: Tentera China akan membuat sumbangan ‘baharu’ lebih besar untuk mengekalkan kemakmuran dan kestabilan Hong Kong, kata agensi berita Xinhua hari ini, memetik penempatan Tentera Pembebasan Rakyat (PLA) di wilayah itu.

Tentera China kini selesai melengkapkan penggiliran rutin tenteranya di Hong Kong, dengan pasukan udara, darat dan maritim memasuki wilayah itu, kata laporan.

China mengadakan penggiliran tentera PLA itu beberapa hari sebelum penunjuk perasaan prodemokrasi Hong Kong merancang mengadakan perhimpunan menggesa demokrasi penuh wilayah ditadbir Beijing itu, tiga bulan selepas bantahan yang kadang kala bertukar ganas.

Media tempatan China menyifatkan pergerakan tentera pada awal pagi sebagai rutin manakala diplomat Asia dan Barat yang menyaksikan pergerakan PLA di bekas jajahan British itu sudah menjangkanya.

Namun, walaupun jika satu rutin, masa penggiliran itu kemungkinan menggusarkan ‘rantau pentadbiran khas’ Hong Kong yang dikembalikan ke tangan China pada 1997.

Tahun lalu, China mengeluarkan kenyataan, jumlah askar dan peralatan tentera ditempatkan di Hong Kong ‘dikekalkan tanpa perubahan.’

Pemantau menganggarkan jumlah penempatan PLA di Hong Kong adalah antara 8,000 dan 10,000 anggota, dibahagikan antara pangkalan di selatan China dan beberapa bekas berek tentera British di wilayah itu.

China mengecam bantahan dan menuduh Amerika Syarikat (AS) dan Britain campur tangan dalam urusannya di Hong Kong. Ia menghantar amaran jelas bahawa campur tangan paksa tidak mustahil.

Beijing sekali lagi memberi amaran semalam supaya kerajaan asing tidak campur dalam bantahan Hong Kong selepas sidang kemuncak G7 negara industri menggesa keganasan dielakkan.

Pemimpin Hong Kong, Carrie Lam tidak menolak kemungkinan pentadbirannya mungkin melaksanakan kuasa kecemasan bagi mematahkan bantahan.

Dalam taklimat berita semalam, beliau berkata, keganasan semakin serius namun yakin kerajaannya mampu menguruskan sendiri krisis itu. -Reuters

Kemelut Kerajaan

Berita Harian X