Ahad, 1 September 2019 | 5:27pm
Penunjuk perasaan menyekat laluan ke Lapangan Terbang Antarabangsa Hong Kong. - Foto Reuters
Penunjuk perasaan menyekat laluan ke Lapangan Terbang Antarabangsa Hong Kong. - Foto Reuters

Penunjuk perasaan sasar lapangan terbang Hong Kong

HONG KONG: Ratusan aktivis prodemokrasi Hong Kong menghalang beberapa laluan ke lapangan terbang hari ini, ketika hab kewangan itu memulakan usaha pembersihan selepas satu lagi bantahan ganas tercetus, diikuti kebakaran, pelepasan gas pemedih mata dan tindakan polis memukul penunjuk perasaan.

Pengendali kereta api Airport Express berkata, mereka menggantung perkhidmatan tengah hari ini, manakala penunjuk perasaan berpakaian hitam, menggunakan payung untuk berlindung daripada kamera litar tertutup, membuat halangan di stesen bas di lapangan terbang dan cuba menghentikan trafik di jalan raya utama menuju ke terminal.

Di luar satu terminal di hab antarabangsa, penunjuk perasaan membakar alat pemadam api, mengumpul troli bagasi sebagai penghalang jalan raya, selain memecahkan kamera pemantauan.

Polis Hong Kong berkata, mereka bersedia untuk melancarkan operasi meleraikan penunjuk perasaan dan satu siaran di Facebook turut memberi amaran kepada penunjuk perasaan supaya segera meninggalkan kawasan lapangan terbang.

Namun, tiada penerbangan yang terjejas setakat ini, tetapi beberapa penumpang terkejut dengan kekacauan itu.

“Saya mahu ke lapangan terbang untuk mencari saudara perempuan saya, tetapi tidak dapat masuk,” kata pembantu rumah Indonesia, Samirah.

Lapangan terbang ditutup dengan arahan injuksi yang melarang penunjuk perasaan daripada memasuki kawasan itu, susulan penutupan pada Ogos lalu yang berakhir dengan pertempuran dahsyat.

Namun penunjuk perasaan, seperti kebiasaannya tidak mengendahkan tindakan undang-undang yang mengharamkan tindakan mereka. - AFP

Berita Harian X