Ahad, 1 September 2019 | 9:41pm
Aktivis prodemokrasi menghalang laluan ke lapangan terbang. - Foto Reuters

Penerbangan dibatalkan penunjuk perasaan sasar lapangan terbang

HONG KONG: Lebih 12 penerbangan dibatalkan hari ini apabila ribuan aktivis prodemokrasi menghalang laluan ke lapangan terbang.

Ia berlaku sehari selepas penunjuk perasaan dan polis bertempur dalam beberapa keganasan terburuk dilihat di bandar raya berkenaan sejak ketegangan bermula tiga bulan lalu.

Sekurang-kurangnya 16 penerbangan dibatalkan, kata laman web lapangan terbang itu, dengan dewan pelepasan dipenuhi dengan penumpang yang bergelut untuk tiba di terminal.

Terdahulu, pengendali kereta api Airport Express berkata, ia menggantung perkhidmatan, manakala penunjuk perasaan berpakaian hitam, menggunakan payung untuk berlindung daripada kamera litar tertutup, membina halangan di stesen bas lapangan terbang dan cuba menghentikan trafik di jalan raya utama menuju ke terminal.

Pelancong yang terkandas terpaksa melupakan lif dan mengheret bagasi mereka di sepanjang jalan raya lapangan terbang.

Tindakan hari ini adalah yang terbaharu dalam masa tiga bulan bantahan ganas yang dicetuskan pada awalnya oleh pembangkang menentang undang-undang dicadangkan yang membolehkan ekstradisi ke tanah besar China.

Ia merebak menjadi pergerakan antikerajaan.

Di luar salah satu terminal lapangan terbang, penunjuk perasaan membakar alat pemadam api, menimbun troli bagasi menjadi halangan jalan raya boleh ubah dan memecahkan kamera pemantauan sebelum ditahan polis.

“Ia di luar kawalan. Tiada guna berasa marah,” kata Andy Tang, 26, yang baru kembali ke Australia selepas bercuti selama seminggu di Hong Kong.

Pekerja pembersihan hari ini dilihat membersihkan serpihan dan memadamkan grafiti selepas pertempuran antara penunjuk perasaan dan polis pada malamnya. — AFP

690 dibaca
Berita Harian X