Selasa, 3 September 2019 | 6:23pm
CARRIE Lam

Saya mahu berhenti jika ada pilihan - Carrie Lam

HONG KONG: Ketua Eksekutif Hong Kong, Carrie Lam mendedahkan beliau mahu berhenti, jika mempunyai pilihan untuk berbuat demikian, menurut rakaman ucapan beliau kepada perniagaan di bandar itu.

Kenyataan itu dilaporkan agensi media Reuters yang diperoleh daripada satu transkrip rakaman sepanjang 24 minit, minggu lalu.

Menurut transkrip itu Lam menyatakan tahap situasi krisis di Hong Kong menyebabkan beliau tidak mempunyai banyak pilihan.

"Ia sudah menjadi isu nasional termasuk kedaulatan dan keselamatan ketika hubungan dua ekonomi utama dunia tegang. Ketua Eksekutif terpaksa berkhidmat kepada dua 'Tuan' berdasarkan perlembagaan iaitu kerajaan pusat dan penduduk Hong Kong.

"Ia menyebabkan keadaan tiada pilihan. Tidak banyak perincian yang boleh dikongsi. Saya tidak boleh meredakan tekanan daripada pihak polis atau mengekang tunjuk perasaan aman besar-besaran.

"Saya amat sedih kerana seolah-olah berdiam walaupun dengan tunjuk perasaan berulang. Disebabkan tiada pilihan, cara lain yang ada ialah nilai asas Hong Kong 'keluruhan undang-undang' termasuk penguatkuasaan.

"Kita perlu mengekang keganasan dengan penahanan. Mereka akan diadili Jabatan Keadilan secara adil tanpa campur tangan daripada saya atau kerajaan pusat China kemudian di mahkamah.

"Ia mungkin membantu kerana jumlah keganasan menurun. Kami menjangkakan kira-kira satu atau dua ribu penunjuk perasaan disifatkan ganas," katanya.

Mengenai langkah melaksanakan rang undang-undang ekstradisi pesalah ke tanah besar China, Lam mengakui ia adalah satu kesilapan kerajaan tidak memahami kerisauan penduduk Hong Kong.

"Pada mulanya niat kita baik (dalam rang undang-undang ekstradisi ke China) untuk menutup kelompangan undang-undang di Hong Kong ekoran satu kes dan terbukti tidak bijak.

"Kita gagal memahami kerisauan penduduk Hong Kong terhadap tanah besar China.

Beliau juga mengakui kekacauan itu menyebabkan kehidupan beliau sukar kerana tidak dapat keluar, membeli-belah atau mendapatkan perkhidmatan di salun rambut.

"Hidup saya tunggang terbalik," katanya.

Tidak lama selepas transkrip itu bocor, Lam menafikan meminta kerajaan China membenarkan beliau meletak jawatan ekoran krisis poltik terbabit, menurut

Kemudian Beijing menyatakan sokongan padu terhadap Lam, selepas rakaman audio itu bocor dan memaklumkan kerajaan pusat China tidak akan berdiam diri, jika situasi menjadi tidak terkawal.

"Kami menyokong kuat Ketua Eksekutif Hong Kong, Carrie Lam memimpin kerajaan Wilayah Pentadbiran Khas," kata jurucakap Pejabat Hal Ehwal Hong Kong dan Macau kerajaan pusat China, Yang Guang. - Reuters/ AFP

Berita Harian X